Komited perkasakan masyarakat India

KUALA LANGAT 11 Okt.- Masyarakat India akan terus mendapat pembelaan dari Kerajaan Persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN) sekaligus melonjakkan taraf sosioekonomi kaum itu di negara ini.

Pengerusi BN Kuala Langat, Datuk Sulaiman Mohd. Karli berkata, usaha itu bukan satu ‘omong-omong kosong’ sebaliknya ia telah pun dimulakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi pelbagai pelan jangka pendek dan jangka panjang.

“Komitmen berterusan Kerajaan Pusat dan Perdana Menteri dalam membangunkan masyarakat India itu boleh dilihat melalui penyaluran peruntukan RM900 juta kepada sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) dan merupakan yang terbesar dalam sejarah institusi pendidikan itu.

“Malah, Perdana Menteri juga berusaha menambah pinjaman mikrokredit dan meluluskan RM1.2 bilion kepada masyarakat India untuk berniaga. Usaha itu termasuklah menyediakan tambahan 700 tempat kepada pelajar India di universiti awam.

“Maka, saya berani katakan bahawa Perdana Menteri mungkin boleh dianggap sebagai ‘Bapa Pembangunan Masyarakat India’ di negara ini,” katanya ketika berucap dalam majlis penyerahan sumbangan Deepavali anjuran MIC Bahagian Kuala Langat di Teluk Datuk, di sini semalam.

Tambah Sulaiman, usaha memperkasakan kaum India juga turut dilakukan melalui pelantikan jawatan-jawatan tertinggi dalam perkhidmatan awam.

 

Sumber – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *