Kuala Lumpur disenaraikan antara 30 bandar raya dunia paling bahaya dari segi persepsi jenayah

Pada masa kini, peluang pekerjaan yang lebih tinggi mempengaruhi banyak pihak untuk meninggalkan kawasan luar bandar dan memilih penempatan di bandar bagi jaminan hidup yang lebih bagus.

Namun begitu, beberapa kawasan bandar metropolitan di dunia turut menjadi sebahagian daripada lokasi paling berbahaya di dunia disebabkan oleh populasi penduduk yang besar sehingga mengakibatkan bilangan penguat kuasa menjadi terhad.

Oleh yang demikian, terdapat banyak bandar popular di dunia dikenal pasti sebagai lokasi paling berbahaya disebabkan oleh kadar peningkatan jenayah yang tinggi.

Memetik laporan Free Malaysia Today, berdasarkan data yang dikumpulkan sebuah syarikat yang menilai persepsi pengguna awam setakat pertengahan 2017, ibu kota Malaysia iaitu Kuala Lumpur disenaraikan antara 30 bandar raya dunia paling bahaya dari segi persepsi jenayah.

Menurut perangkaan berdasarkan penilaian orang ramai yang dilakukan oleh laman Numbeo yang menyentuh persepsi soal jenayah, kos kehidupan, pencemaran, kesihatan, kualiti kehidupan, kesesakan lalu lintas dan hartanah, Petaling Jaya dan Johor Bahru turut disenaraikan antara 100 tempat dengan indeks jenayah paling tinggi.

Kuala Lumpur merupakan satu-satunya bandar raya di Asia Tenggara yang ditempatkan di tangga ke-29 dengan indeks jenayah dicatatkan 68.31.

Rata-rata bandar raya dunia yang mencatatkan indeks jenayah paling tinggi terletak di Amerika Selatan, Afrika dan beberapa bandar raya di Amerika Syarikat.

Sepuluh bandar raya dengan indeks jenayah paling tinggi menurut penilaian pengguna ialah San Pedro Sula di Honduras dengan catatan 84.88, diikuti Port Moresby (Papua New Guinea), Pietermaritzburg (Afrika Selatan), Caracas (Venezuela), Fortaleza (Brazil), Salvador (Brazil), Johannesburg (Afrika Selatan), Durban (Afrika Selatan), Pretoria (Afrika Selatan) dan Recife (Brazil).

Petaling Jaya disenaraikan pada tangga ke-40 manakala Johor Bahru di tempat 62. Dua bandar lain di Malaysia ialah Kuching (tempat ke 118) dan Pulau PInang (149).

Data Numbeo berdasarkan pengalaman dan persepsi orang ramai mengenai bandar raya serata dunia.

Menurut syarikat itu, data yang dikumpulkan tidak mewakili sebarang sumber rasmi atau dipengaruhi agensi kerajaan.

Walaupun perangkaannya tidak dianggap rasmi, ia menjadi rujukan beberapa sumber berita dalam menilai sesebuah bandar raya.

Sumber – CARI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *