Lelaki dipenjara kerana mencuri duit tabung surau

AYER KEROH: Seorang lelaki dijatuhkan hukuman 12 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah mencuri duit tabung surau dan melakukan pecah rumah membabitkan nilai keseluruhan RM620 antara September 2016 dan Mei lalu.

Tertuduh, Mohammad Aszan Khamis, 31, membuat pengakuan itu sebaik jurubahasa membacakan dua pertuduhan berasingan di hadapan Majistret, Mohd Firdaus Saleh.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengumpil tabung surau dan mengambil wang tunai berjumlah RM70 milik surau It-Hadiah, Taman Desa Duyong, tanpa kerelaan penjaganya, Zawawi Abdul, jam 8 pagi, pada 26 Mei lalu.

Kesalahan dilakukan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga sepuluh tahun dan denda.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh melakukan pecah rumah dan mencuri sebuah kamera jenis Panasonic bernilai RM550, kepunyaan Amiruddin Kenoh, 46, di sebuah rumah di Taman Bukit Katil, antara jam 9 pagi hingga 2 petang, pada 3 September 2016.

Tertuduh boleh didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 14 tahun atau denda.

Timbalan Pendakwa Raya, N Sivashangari memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam bela merayu hukumannya diringankan atas alasan menjaga bapa sakit.

Selepas mendengar hujah dan rayuan kedua-dua pihak, Mohd Firdaus kemudian menjatuhkan hukuman 12 bulan penjara bagi kedua-dua pertuduhan, dan kedua-duanya bermula dari tarikh jatuh hukum.

Sumber – bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *