Lelaki lemas ketika cari batu sungai untuk jadikan batu nisan kubur arwah ibu

LELAKI berusia 44 tahun dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mencari batu sungai untuk dijadikan batu nisan kubur arwah ibunya di Sungai Kenerong, Kampung Stong, Dabong, Kuala Krai, petang semalam.

Dalam kejadian 2 petang itu, mangsa Zamri Abdullah, 44, tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai sebelum dihanyut arus deras.

Difahamkan, mangsa yang berasal dari Gua Musang ke sungai itu bersama keluarganya termasuk isteri, anak dan adiknya pada 12.30 tengah hari untuk mencari batu sungai untuk dijadikan batu nisan kubur arwah ibunya yang meninggal dunia tiga hari lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai Deputi Superintendan Zulkarnain Ismail Al Haj berkata, mangsa turun ke sungai bersama adiknya.

“Ketika mereka sedang mencari batu sungai, secara tiba-tiba paras air naik mendadak dan mangsa sempat mengarahkan ahli keluarganya yang berada di kawasan itu naik ke tebing.

“Selepas itu, Zamri dan adiknya tergelincir sebelum terjatuh ke dalam sungai dan dibawa arus deras.

“Adik mangsa terselamat selepas tersangkut pada batu manakala mangsa terus dibawa arus sungai dan sempat diselamatkan,” katanya.

Menurutnya, sebaik mendapat laporan, pihaknya ke lokasi kejadian untuk usaha mencari dan menyelamat mangsa dengan bantuan penduduk setempat, namun mangsa gagal ditemui.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Mohamad Hanif Che Khalid, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.31 petang sebelum seramai lima anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian usaha mencari dan menyelamat mangsa terus dijalankan namun mangsa tidak ditemui.

“Operasi dihentikan jam 6 petang atas faktor cuaca dan keselamatan anggota. Operasi akan bersambung jam 9 pagi ini,” katanya.

Sumber – hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *