Letupan di tapak pembinaan MRT berpunca dari peninggalan bom lama zaman Perang Dunia Kedua

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan letupan di tapak pembinaan stesen Transit Aliran Massa (MRT) di Bandar Malaysia, petang Selasa berpunca daripada peninggalan bom lama ketika zaman Perang Dunia Kedua.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh ketika dihubungi di sini, malam Selasa.

“Hasil siasatan awal mendapati ia merupakan bom lama ketika Perang Dunia Kedua dan bom berkenaan meletup secara tiba-tiba ketika kerja pembinaan sedang dijalankan,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, tiga pekerja warga Bangladesh cedera parah dan dua daripadanya putus kaki manakala seorang lagi pekerja cedera di tangan serta kaki.

Ketiga-tiga pekerja berkenaan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, sumber Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.23 petang dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian.

Beliau berkata, seramai 25 pegawai dan anggota bersama lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah, Pudu dan Tun Razak dikejarkan ke tempat kejadian.

Sumber – Bernama/Mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *