Maghribi sedia lakukan ujian kereta api laju pertama rantau Arab

RABAT: Maghribi bersedia melakukan ujian kereta api laju pertama rantau Arab minggu ini, kata pejabat syarikat kereta api ONCF.

ONCF berkata, kumpulan jurutera negara itu bersedia melancarkan ujian kereta api yang dikatakan mampu mencecah kelajuan sehingga 320 kilometer sejam.

Syarikat itu berkata kereta api itu mencecah kelajuan 275 kilometer sejam ketika melalui laluan antara bandar Kenitra dan Tangier, pada waktu ujian semalam.

“Ini adalah kereta api paling laju di benua Afrika,” kata Menteri Luar Perancis Jean-Yves Le Drian yang berada di negara itu untuk menandatangani perjanjian pinjaman antara ONCF dan Agensi Pembangunan Perancis.

Katanya, kereta api itu adalah simbol kepada hubungan dua hala antara Perancis dan Maghribi.

Jarak landasan sejauh 350 kilometer menghubungkan Casablanca dan Tangiers melalui ibu negara Rabat memendekkan dua pertiga perjalanan negara utara Afrika itu. Ia hanya mengambil masa dua jam perjalanan.

Perkhidmatan kereta api Morocco TVC yang mendapat nama singkatan daripada bahasa Perancis yang bermaksud kereta api berkelajuan tinggi dijangka memulakan operasi menjelang musim panas 2018.

Berdasarkan laporan pembiayaan, projek ini dibiayai 50 peratus oleh kerajaan Perancis dengan pinjaman berjumlah dua bilion euro (RM10.15 bilion) dan ia dikatakan 15 peratus melebihi bajet.

Bagaimanapun, Ketua ONCF, Rabii Lakhlii berkata projek itu hanya menelan kos kurang daripada 9 juta euro (RM44.69 juta) bagi setiap satu kilometer berbanding standard Eropah 20 juta euro (RM99.31 juta) untuk setiap kilometer. – AFP

Sumber – bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *