Makan Secara Berlebihan Boleh Menyebabkan Otak Menjadi “Perlahan”

Makan terlalu banyak boleh meninggalkan satu kesan yang besar kepada seseorang. Selain dari berat badan semakin bertambah, keadaan otak juga akan menjadi semakin “perlahan” sehingga kadang kala otak memerlukan masa yang lama untuk memikirkan perkara yang mudah.

Namun, apa sebenarnya yang berlaku kepada otak selepas seseorang itu makan dalam kuantiti yang banyak dan macam mana makanan itu boleh membuatkan fungsi otak menjadi perlahan?

Kebiasaannya, selepas makan dalam kuantiti yang banyak, seorang individu itu pasti akan berasa malas, penat, mengantuk dan tidak boleh berfikir terutama sekali selepas makan nasi atau karbohidrat lain dalam kuantiti yang banyak. Simptom itu telah dibuktikan menerusi kajian terbitan American Physiological Association.

Hasil kajian itu menemui yang otak akan mengalami gangguan selepas seseorang itu memakan makanan yang tinggi karbohidrat. Meskipun pengkaji masih belum mempunyai alasan yang kukuh mengapa makanan boleh melambatkan fungsi otak, tetapi mereka mempunyai beberapa alasan yang boleh menjadikan punca otak lambat berfungsi.

Selepas makan, gula darah biasanya akan meningkat secara drastik, badan pula secara semula jadinya akan mengalami peningkatan insulin hormon yang berfungsi untuk mengawal kadar gula darah.

Namun, insulin itu bukan hanya membuatkan gula darah menjadi normal, tetapi, boleh juga menyebabkan tryptophan substance meningkat di otak. Keadaan itu akan memberikan kesan kepada jumlah serotonin – penghubung antara sel saraf yang berfungsi mengawal mood, pencernaan, serta memainkan peranan di system saraf pusat.

Perubahan yang berlaku pada jumlah serotonin itu boleh membuatkan seseorang itu berasa mengantuk dan otak mengambil masa yang lama untuk berfikir.

Selain itu, makan terlalu banyak juga boleh menyebabkan otak mengalami kekurangan darah sementara namun ia tidaklah sampai memerlukan prosedur pemindahan darah.

Selepas makan, semua organ pencernaan di dalam perut memerlukan lebih banyak tenaga untuk memproses makanan yang masuk, oleh itu, darah akan lebih banyak mengalir ke bahagian perut demi menyokong aktiviti itu dan itu akan menyebabkan darah di bahagian otak jadi berkurang.

Menurut laporan Hellosehat, darah yang kurang dibahagian otak akan membuatkan oksigen, tenaga dan bahan makanan otak menjadi berkurang.  Keadaan itu boleh menyebabkan sel saraf tidak boleh bekerja dengan baik dalam menghantar isyarat. –utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *