Manisfeto perlu mencakupi semua aspek

KOTA BHARU – Tidak menjanjikan bulan dan bintang, itu adalah perkara paling tepat yang perlu dilakukan oleh BN jika mahu keajaiban berlaku di Kelantan pada pilihan raya akan datang.

Bahkan ini juga masa yang sesuai jika BN Kelantan membantu dan menunaikan janji yang gagal dan tidak boleh dicapai oleh Kerajaan Pas selama hampir tiga dekad parti Islam itu memerintah Kelantan.

Itu pandangan pemerhati politik, Dr Rusdi Omar yang juga Dekan Pembangunan Pelajar dan Alumni Universiti Utara Malaysia sebagai resipi mujarab supaya rakyat tidak muak dengan BN seterusnya mampu menawan Kelantan pada pilihan raya akan datang.

Rusdi berkata, BN perlu menggariskan manifesto yang mestilah boleh memakmurkan dan sejahterakan rakyat negeri ini.

Katanya, manisfeto ini perlulah mencakupi semua aspek sama ada ekonomi, sosial dan sebagainya.

“Saya sangat bersetuju dengan pandangan Datuk Seri Mustapa Mohamad bahawa dalam manifesto BN Kelantan nanti beliau akan mengambil kira tentang prestasi Pas selama 27 tahun (1990-2017) tadbir negeri.

“Hampir tiga dekad kemakmuran dan kesejahteraan mereka masih terabai dan kurang memuaskan di bawah Kerajaan Kelantan yang ada hari ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beberapa hari lalu, Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamad juga telah memaklumkan jentera war room telah ditambah baik .

Ini bagi meneliti semua isu-isu berkait rapat dengan rakyat adalah langkah bijak dan proaktif BN Kelantan.

“Ini menunjukkan kepada rakyat Kelantan bahawa BN Kelantan sudah benar-benar bersedia untuk memaju dan memakmurkan Kelantan.

“Jika ini berlaku, BN mampu dan seterusnya menawan kembali negeri tersebut daripada Pas kali ini.

“Inilah perkara besar dan sudah pasti rakyat Kelantan ingin melihat sejauh mana BN Kelantan mampu serta bersedia untuk melakukan perubahan paradigma di sini,” katanya.

Sementara itu, pendekatan BN untuk meletakkan 30-40 peratus muka baharu pada pilihan raya kali ini juga dilihat sebagai kesungguhan parti itu untuk menukar tapuk kepimpinan di negeri ini.

 

Sumber – Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *