Mat Sabu: PAS yang rindu saya

PETALING JAYA – Presiden Amanah, Mohamad Sabu mengakui tidak menyesal meninggalkan parti lamanya, Pas.

Tidak rindu dengan perjuangan parti lamanya, Mohamad yang juga dikenali sebagai Mat Sabu berkata, beliau kini lebih senang berada dalam Amanah bersama rakan seperjuangannya.

“Kita tak rindu Pas, bahkan mereka yang rindu kita. Kebanyakan rakan kita dalam Pas dahulu teruja mahu berjabat tangan dengan kita yang telah meninggalkan mereka.

“Cuma bila lalu markas Pas, terdetik rasa sedih kerana dahulu kita juga yang sanggup bersusah payah mencari dana untuk membina markas tersebut. Namun kini markas itu jugalah yang digunakan untuk memburukkan kita,” katanya kepada Sinar Online, selepas tamat sidang media Himpunan Sayang Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi, di sini, semalam.

Mengulas perjuangan Amanah yang berada bersama Pakatan Harapan, beliau berkata, beliau yakin yang Pakatan mampu mendepani cabaran BN pada PRU14 akan datang.

Menurutnya, Pas tidak akan dapat menandingi kekuatan Pakatan kerana mereka tidak bersama dengan pakatan.

“Meskipun berlaku pertembungan tiga penjuru, yang akan betul-betul memberi persaingan hanyalah BN atau Pakatan.

“Pas akan jauh ketinggalan, mungkin akan hilang deposit.Ini kerana Pas tidak akan menang jika bersendirian,” katanya lagi.

 

Sumber – Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *