Mengejutkan bila pemimpin PAN turut melonjak nama Kit Siang sebagai calon PM terbaik – Penganalisis

Cetek pengalaman Lim Kit Siang didalam pentadbiran mana-mana kerajaan tidak melayakkan Penasihat DAP itu sebagai Perdana Menteri, apatah lagi untuk dicalonkan.

Bekas Ahli DAP, Jenice Lee menegaskan, Kit Siang tidak pernah dilantik sebagai exco kerajaan negeri mahupun mempunyai pengalaman menteri, tidak memungkinkannya menjadi Perdana Menteri yang baik.

“Malah, sekiranya Kit Siang dilantik sebagai Perdana Menteri dikhuatiri Pakatan Harapan juga akan menjadi huru-hara dan tahapnya tidak dapat dijangkakan,” kata bekas ADUN Teratai itu dipetik Utusan Malaysia.

Senada dengan Jenice, bekas ahli DAP seumur hidup, Shahmsher Singh Thind menyatakan kebimbangan sama dan menolak kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim menyatakan sokongan terhadap pencalonan Kit Siang sebagai Perdana Menteri.

“Saya tidak pasti sama ada Zaid sedang mengipas Kit Siang untuk mendapat kerusi bagi bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 atau diupah untuk menamatkan riwayat politik pemimpin veteran itu dengan membuat kenyataan sedemikian, jika benar dibuat olehnya,” kata beliau.

Menurutnya lagi, Zaid dan Kit Siang tidak layak mempertikaikan mengenai isu kepercayaan kerana kedua-dua pemimpin itu sedang bekerjasama dengan individu yang sebelum ini pernah menuduh mereka melakukan salah guna kuasa dan rasuah.

“Mungkin Zaid terlupa bahawa UMNO sekarang yang dikatakan rasis adalah diwujudkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 1988,” tegasnya.

Penegasan oleh kedua-dua bekas ahli DAP ini susulan kenyataan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy yang ‘melambung’ Kit Siang sebagai calon paling layak untuk dijadikan pemimpin nombor satu negara.

Disamping menyifatkan Kit Siang sebagai pemimpin agung, Ramasamy juga menganggap Ahli Parlimen Gelang Patah itu sebagai terbaik dan paling layak daripada pemimpin lain.

Bagi penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Yusoff, beliau tidak hairan sekiranya Ramasamy menyanjung veteran DAP berkenaan.

Tambahan lagi, sejak Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), DAP sudah meningkatkan jumlah kerusi dan menjadi antara suara terbesar dalam pembangkang.

Namun apa yang mengejutkan kata Dr Kamarul adalah, pencalonan itu turut disokong oleh pemimpin dari parti AMANAH.

“Bagaimanapun, apa yang pelik ialah bila pemimpin AMANAH, apatah lagi seorang yang dilantik untuk menjawat jawatan sebagai Pengerusi Biro Undang-Undang (KANUN) AMANAH, turut melonjakkan nama Lim Kit Siang sebagai calon Perdana Menteri terbaik Malaysia kerana perjuangan Lim Kit Siang dan DAP pada teorinya jauh berbeza dari perjuangan AMANAH.

“Apa guna AMANAH mencatatkan di dalam perlembagaannya bahawa dasar dan tujuannya ialah “memartabat dan menegakkan Islam sebagai dasar perjuangan” dan “mendirikan sebuah negara dan masyarakat madani dengan Islam sebagai rahmat untuk semua” bila pada akhirnya sekularis tegar seperti Lim Kit Siang dari parti sekularis tegar DAP yang AMANAH impikan sebagai Perdana Menteri?” ujarnya.

 

Sumber – malaysiandigest

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *