“Mereka perlu didesak mengisytiharkan kekayaan mereka” – PMSP

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) hari ini mendakwa Pakatan Harapan merupakan gabungan politik pembangkang terkaya di dunia kerana kebanyakan pemimpinnya dibiayai oleh pihak asing.

Presidennya, Ramesh Rao Krishnan Naidu berkata, lebih malang lagi dengan kekayaan ini mereka gunakan kelebihan itu untuk menggulingkan kerajaan Barisan Nasional secara tidak demokratik.

“Kebanyakan pemimpin pembangkang mempunyai keluarga terlibat dalam perniagaan, malah ada juga terbukti menerima dana daripada pihak asing dari barat untuk menggulingkan kerajaan BN,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ramesh juga mencabar pemimpin pembangkang mengisytiharkan harta sekiranya mereka benar-benar tidak ditaja untuk membuat kerja kotor pihak luar untuk menggagalkan pentadbiran Datuk Serii Najib Tun Razak.

“Mereka perlu didesak mengisytiharkan kekayaan mereka dan membuktikan aset yang dimiliki dan mungkin kekayaan mereka melebihi kekayaan Pengasas Microsoft Bill Gates dan Raja Arab Saudi,” tegasnya.

Katanya, kekayaan anak-anak Tun Dr Mahathir Mohamad hasil perniagaan industri petroleum di negara ini tidak boleh disangkal lagi hingga bergelar ‘bilionwan’, lebih-lebih lagi tempias daripada pengaruh bapanya yang memerintah negara lebih 22 tahun.

“Sebagai bapa, takkan Mahathir tidak terkena tempiasnya, malahan beliau juga saya lihat ada pakai kereta-kereta mewah berjenama mahal.

“Kalau aset mereka sekeluarga sahaja sudah berbilion,” katanya.

Ramesh turut mengimbas dakwaan bahawa DAP menerima dana dari Israel berjumlah RM1.2 bilion, namun sehingga ke hari ini parti cauvenis itu masih berdiam diri.

“Bukan sahaja pemimpin DAP, enggan jawab malahan enggan saman pun pihak yang buat dakwaan berkenaan.

“Kalau tidak benar saman, dana itu besar, tidak mustahil bukan dana itu sahaja yang diterima mereka, mungkin ada banyak dana daripada pihak lain lagi.

“George Soros juga dikatakan ada beri sumbangan dana kepada pembangkang di Malaysia dalam gerakan mereka untuk gulingkan kerajaan ini,” dakwanya.

Menurut Ramesh, kekayaan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga perlu diberi perhatian kerana beliau sudah lama menerima dana dari pelbagai pertubuhan serata dunia khususnya daripada Yahudi untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia.

“Pada 2010, Yayasan Masa Hadapan (FFF) dipengerusikan oleh Anwar pada 2006 menerima RM21.3 juta dana dari Amerika Syarikat yang disalurkan melalui Kongres Amerika untuk membiayai yayasan berkenaan.

“Itu antara dana yang Anwar terima dan sudah terbukti ada banyak dana lagi, tidak mustahil pakatan pembangkang ini adalah parti yang terkaya di dunia,” dakwa Ramesh.

Dakwanya, pembangkang menggunakan dana untuk membayar media asing untuk memburukkan negara, dan mengupah orang ramai hadir dalam perhimpunan haram untuk menjatuhkan kerajaan serta menganjurkan perhimpunan berskala besar untuk mencapai matlamat mereka.

“Pembangkang juga sampai sanggup melobi Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat untuk buat tuduhan palsu berkaitan 1MDB serta saman sivil yang sehingga kini tidak dibuktikan kebenarannya,” katanya lagi.

 

Sumber – MalaysiaGazette.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *