Najib berjaya batal saman MP Petaling Jaya Utara

KUALA LUMPUR 13 Okt. – Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan, hari ini berjaya membatalkan saman Ahli Parlimen, Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee berhubung dakwaan, Perdana Menteri telah melakukan salah laku dalam jawatannya sebagai pegawai awam.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datin Faizah Jamaludin dalam keputusannya ketika membenarkan permohonan Najib dan kerajaan menyatakan, Tony tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk mengemukakan tuntutan tersebut.

Selain itu menurut beliau, tindakan saman yang difailkan oleh Tony juga tiada kausa tindakan yang munasabah dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.

Faizah berpendapat, Tony tidak menyertakan sebarang butiran berhubung dakwaannya sehubungan itu saman tersebut hanya bersandarkan spekulasi semata-mata.

Dalam keputusan yang dibacakan oleh beiau di mahkamah terbuka, Faizah juga menyatakan, Mahkamah Tinggi terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini memutuskan bahawa Perdana Menteri (PM) bukannya pegawai awam.

“Saya berpendapat, PM tidak melakukan sebarang salah laku sama ada dalam tahap satu iaitu niat jahat yang dilakukan khusus oleh Najib yang dinamakan sebagai pihak defendan,” ujar Faizah membatalkan saman itu dengan kos RM5,000.

Najib telah memfailkan permohonan tersebut pada 14 Februari lalu atas alasan, Perdana Menteri bukannya seorang pegawai awam selain tuntutan tersebut melibatkan saman bersifat ‘collateral suit’ (saman cagaran) yang mempunyai tujuan politik yang terselindung.

Pihak plaintif dalam pernyataan tuntutan mendakwa, plaintif pertama atas kapasitinya sebagai Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB telah cuai menggunakan pengaruhnya dan kedudukannya bagi mendapatkan jaminan daripada kerajaan untuk bon-bon 1MDB dari mana hasil-hasil telah dipindahkan ke dalam akaun peribadinya.

Pihak plaintif juga mendakwa, plaintif pertama, dengan niat jahat sengaja atau cuai meluluskan 1MDB atau syarikat bersekutunya untuk memasuki pelbagai transaksi pelaburan dan perjanjian tanpa menjalankan usaha wajar telah menyalahgunakan dana 1MDB secara diam-diam.

Kerajaan selaku defendan kedua juga memohon saman Tony dibatalkan atas alasan tuntutan tersebut tiada kausa tindakan yang munasabah, remeh, menyusahkan dan penyalahguanaan proses mahkamah.

Pihak plaintif memfailkan saman tersebut terhadap Najib dan kerajaan pada 16 Januari lalu atas dakwaan Najib terlibat dalam salah laku pentadbiran awam dan kerajaan, membabitkan dana 1MDB.

Najib diwakili oleh peguam utama, Tan Sri Cecil Abraham dan peguam bersama, Datuk Mohd. Hafarizam Harun manakala Peguam Kanan Persekutuan, Alice Loke Yee Ching.

 

Sumber – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *