Nizar Jamaluddin sedia tangkap semua pengundi hantu di Perak

Pakatan Harapan menyatakan kesediaan untuk membawa semua bukti berhubung wujudnya komplot pengundi hantu melibatkan BN di negeri ini untuk siasatan polis.

Pengarah Pilihanraya Pakatan Harapan, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, perkara itu akan dilakukan sekiranya, BN tidak menyatakan permohonan maaf berhubung penafian kehadiran lebih 165,000 penama dalam daftar pemilih yang diragui maklumatnya.

Menurutnya, berdasarkan semakan yang dibuat melalui laman web rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), terdapat lebih 50,000 muka surat dianggarkan melibatkan lebih 165,000 penama memiliki daftar alamat yang tidak munasabah.

“Ada yang tidak lengkap tanpa mempunyai poskod dan nama taman juga nombor rumah yang janggal. Ini dibuktikan apabila kita turun ke kawasan untuk semakan, lokasi yang dinyatakan itu sebenarnya tidak wujud. Sebahagian pula, bukan penempatan yang logik untuk penama.

“Jadi kita tidak akan teragak untuk membuat laporan polis dan menyatakan apa yang berlaku ini sama sekali bertentangan dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya,” katanya pada sidang media di Wisma DAP Perak, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang Perak berkata, sebaik pendedahan secara berterusan dilakukan Adun Hutan Melintang, S Kesavan pada Jun lalu, SPR sewajarnya mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap mereka yang dikesan melakukan kesalahan di bawah akta terbabit.

“Tetapi itu tidak berlaku. Selagi SPR tidak lakukan dakwaan terhadap mereka-mereka yang dikesan sebagai pengundi hantu, maka isu ini tidak akan selesai meskipun kami dedahkan ratusan ribu penama,” katanya.

Sebelum ini, BN Perak menyifatkan pendedahan pembangkang wujudnya pengundi hantu di Perak sebagai tidak berasas dan taktik lama untuk mencipta alasan sekiranya kalah pada pilihan raya akan datang.

Ia susulan status akaun Twitter Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yang memuat naik satu gambar bersama pimpinan Pakatan Harapan di Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri dengan meletakkan tulisan ‘Terbongkar, BN letak 56,323’ pengundi hantu di Perak’.

Mohammad Nizar menyifatkan, isu pengundi hantu di negeri ini sebagai satu tragedi yang menggugat hak rakyat sebagai pengundi apabila pilihan raya dilakukan seolah-olah dikhaskan untuk dimenangi BN.

“Kita minta, BN mengemukakan maaf kepada Pakatan Harapan atas tuduhan cuba membangkitkan isu tidak berasas dan hanya meraih simpati rakyat. Kita bagi tempoh 24 jam untuk mereka berbuat demikian,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *