P.Pinang perlukan Ketua Menteri pedulikan negerinya daripada berpolitik dan cari pasal – Cheng Guan

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng wajar melepaskan jawatan ekoran kegagalannya mengekalkan status pendapatan isi rumah diatas paras purata kebangsaan.

Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Guan menegaskan, fakta dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan jelas menunjukkan Guan Eng gagal untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Pulau Pinang.

“DAP mula mengambil alih kerajaan Pulau Pinang pada 2009, purata pendapatan isi rumah rakyat Pulau Pinang lebih tinggi dari nilai kebangsaan. Walaubagaimanapun, hampir 10 tahun menjadi kerajaan, kita telah jatuh dibawah paras purata pendapatan isi rumah,” katanya dipetik New Straits Times.

Cheng Guan yang berpangkalan di Pulau Pinang menjelaskan rentak pembangunan dan pendapatan rakyat negeri lebih perlahan berbanding kawasan-kawasan lain dalam negara, terutama di Kuala Lumpur.

“Kelembapan kemajuan Pulau Pinang juga jelas membuktikan Lim scara hebat dan luar biasanya gagal membawa masuk pelaburan langsung asing dan syarikat antarabangsa ke dalam negeri.

“Malah, semakin banyak syarikat bakal menutup kilang meraka dan ibu pejabat di Pulau Pinang dengan berpindah ke negeri lain.”

Sementara itu memetik kenyataan Cheng Guan di Facebooknya, Guan Eng tidak boleh berbohong mengenai realiti pendapatan isi rumah Pulau Pinang menunjukkan pola merudum ekoran ianya adalah fakta.

“Rakyat Pulau Pinang memerlukan Ketua Menteri yang pedulikan negerinya daripada berpolitik dan cari pasal dengan orang lain setiap hari. Hal ini tidak membawa apa-apa faedah kepada negeri,” ujar Cheng Guan.

Secara purata, pendapatan isi rumah rakyat Malaysia kini pada paras RM6,958 sebulan.

Kuala Lumpur dan Pulau Pinang antara paling kompetitif dengan jurang perbezaan cuma RM1,081 sebulan pada 2009.

Kini, pendapatan isi rumah bulanan Kuala Lumpur di tahap RM11,692 sementara Pulau Pinang RM6,711 – jurang perbezaan hampir RM5,000.

Selangor menduduki carta ketiga tertinggi pada paras RM9,463 sebulan diikuti Johor (RM6,928), Melaka (RM6,849), Negeri Sembilan (RM5,887), Terengganu (RM5,776), Sarawak (RM5,387), Sabah (RM5,354), Perak (RM5,065), Pahang (RM5,012), Perlis (RM4,998) dan Kedah (RM4,971).

 

Sumber – Malaysiandigest

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *