Pakatan pembangkang dicabar himpunkan 2.5 juta rakyat

KUALA LUMPUR – Pakatan pembangkang dicabar supaya menghimpunkan 2.5 juta rakyat Malaysia pada perhimpunan yang bakal diadakan Sabtu ini.

Menurut Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa, ia bagi menggambarkan 52 peratus undi popular yang mereka perolehi pada PRU ke-13 lalu.

Sindiran sinis itu disuarakannya merujuk kepada tindakan Pakatan Harapan (PH) yang bakal menganjurkan perhimpunan yang diberi nama ‘Sayangi Malaysia hapuskan kleptokrasi’ di Petaling Jaya, 14 Oktober ini.

“Saya yakin PH mampu untuk membawa turun sekurang-kurangnya 2.5 juta orang dalam perhimpunan akan datang ini.

“Jika PAS secara bersendirian mampu untuk menghimpunkan lebih 200 ribu penyokong dan ahli mereka di dalam perhimpunan Fastaqim, sudah tentulah himpunan PH akan lebih dari itu kerana ianya menggabungkan ke semua parti-parti pembangkang,” sindir Annuar.

Dalam nada menyindir, Annuar meminta rakyat Malaysia yang ingin datang ke Lembah Klang pada Sabtu ini supaya merancang perjalanan terlebih dahulu bagi mengelakkan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

“Mat Sabu saja saya rasa boleh memanggil lebih 500 ribu ahli dan penyokong PAN untuk turun perhimpunan itu.

“Itu baru Mat Sabu, tidak termasuk pemimpin-pemimpin lain lagi dalam PH. Sebab itu saya yakin, perhimpunan ini mungkin akan dihadiri oleh berjuta-juta ahli dan penyokong mereka, jadi orang ramai rancanglah perjalanan Sabtu ni kalau hendak ke Petaling Jaya,” ujarnya sinis.

 

Sumber – klxpress

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *