Pakatan pembangkang tetap mahu anjur himpunan di Padang Timur

PETALING JAYA: Himpunan Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptorasi anjuran Pakatan Harapan (PH) pada 14 Oktober ini akan tetap diteruskan di Padang Timur meskipun menerima surat bantahan daripada polis.

Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH), Mohamad Sabu memberitahu gabungan itu menerima surat daripada polis semalam memaklumkan tidak bersetuju dengan pemilihan Padang Timur atas faktor lalu lintas.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata PH akan menulis surat kepada polis sebagai jaminan penganjur akan bekerjasama dengan pihak keselamatan untuk memastikan keadaan trafik berjalan dengan lancar pada hari tersebut.

“Semalam kami terima surat daripada polis bahawa tempat ini tak sesuai untuk diadakan himpunan pada 14 Oktober kerana masalah trafik.

“Oleh itu kami akan menulis surat kepada pihak polis memaklumkan kami akan bekerjasama dengan mereka, di mana unit-unit Pemuda PH akan mengawal trafik, termasuk anggota keselamatan daripada MPPJ untuk memastikan aliran trafik yang ada di kawasan ini.

“Di atas kebenaran pihak perbandaran (Majlis Perbandaran Petaling Jaya), tempat ini adalah tempat sesuai untuk mengadakan himpunan.

“Soal kehadiran kita dapat pastikan sebanyak mana, namun ia adalah lokasi yang sesuai dan mencukupi untuk kehadiran” katanya di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di sini.

Mat Sabu juga menegaskan pemilihan Padang Timur itu sesuai memandangkan ia berdekatan dengan pengangkutan awam dan memudahkan peserta himpunan untuk hadir.

Beliau juga berkata penganjur himpunan tidak mempunyai lokasi alternatif sekiranya polis tetap menghalang penganjurannya di Padang Timur.

Terdahulu petang semalam, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din memaklumkan pihaknya tidak bersetuju dengan pemilihan Padang Timur sebagai lokasi himpunan berdasarkan faktor mengganggu penumpang sistem transir aliran ringan (LRT) di Taman Jaya dan perkhidmatan bas di sekeliling kawasan itu.

Mohd Zani juga menyebut terdapat bantahan daripada penduduk di sekitar kawasan tersebut memandangkan Petaling Jaya sebagai laluan utama ke Shah Alam dan Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan terbaru, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamed Fuzi Harun pada hari ini meminta penganjur menukar lokasi himpunan ke Stadium Kelana Jaya bagi mengelakkan masalah lalu lintas.

Beliau menegaskan tindakan boleh diambil terhadap PH jika mereka tetap berdegil meneruskan acara itu di Padang Timur.

Himpunan Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptorasi pada Sabtu ini merupakan kemuncak kepada siri jelajah mereka di seluruh negara, dan dijadualkan berlangsung bermula 4 petang hingga 11 malam.

Mereka menyasarkan kehadiran peserta himpunan sehingga 100,000 orang.

 

Sumber -sh-/Antarapos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *