“Peliknya, yang kena tindas dapat panjangkan talian hayat politiknya pula”

Di sebalik kesediaan DAP mengadakan Pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) sepertimana yang diarahkan Pendaftar Pertubuhan (ROS), Lim Guan Eng telah merancang muslihat tersendiri untuk memanjangkan tempoh jawatannya sebagai Setiausaha Agung parti sekurang-kurang sehingga tahun 2020.

Meskipun pemilihan semula CEC bakal bermula pertengahan bulan depan, 12 Nov, di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam, namun Guan Eng sepertimana dilapor Malaysiakini sudah menawarkan diri untuk kekal menguasai jawatan Setiausaha Agung DAP bagi penggal ketiga.

Mengulas perkembangan terbaharu itu, pemerhati politik Lim Sian See berkata ia bukan suatu perkara yang mengejutkan, malah sudah dijangka dari awal, walaupun dinafikan oleh beberapa aktivis DAP yang rapat dengan Guan Eng.

“Apabila saya orang pertama yang menegaskan bahawa Guan Eng mendapat manfaat besar sekiranya pemilihan semula CEC diisytiharkan tidak sah kerana dia akan memberi ruang kepadanya untuk memanjangkan tempohnya sebagai Setiausaha Agung dari 9 tahun hingga 18 tahun, Anthony Loke telah menyerang saya dan berkata saya berniat jahat dan berkata Guan Eng tidak akan melakukan perkara seperti ini. Gobind Singh juga memanggil saya dengan nama yang lebih teruk.

“Dia (Guan Eng) sepatutnya terpaksa berundur dari jawatan itu pada tahun lepas, tetapi kini dia boleh memanjangkan tempoh jawatannya sekurang-kurangnya hingga tahun 2021 atau pertengahan tahun 2022 ..,”ulas Lim Sian See dalam Facebook.

Pada 12 Julai tahun lalu, Anthony Loke dalam kenyataan medianya memberitahu Guan Eng tidak boleh lagi memegang jawatan Setiausaha Agung DAP kerana tempoh dia memegang jawatan itu adalah selama tiga tahun sepertimana yang termaktub dalam pindaan perlembagaan DAP pada tahun 2003.

Namun, katanya, Guan Eng masih boleh bertanding dalam CEC dan memegang jawatan lain, kecuali Setiausaha Agung DAP.

“Ia bukan satu persoalan meletak jawatan. Dia masih boleh bertanding dalam CEC. Di bawah perlembagaan parti, Setiausaha Agung hanya boleh berkhidmat selama tiga penggal. (Guan Eng) boleh berkhidmat di mana-mana jawatan lain (selepas itu), “kata Anthony.

Guan Eng sudah memegang jawatan Setiausaha Agung parti sejak dari tahun 2004.

Seorang lagi pemerhati politik, Azizi Safar berkata jika Guan Eng menawarkan diri sekali lagi untuk memegang jawatan Setiausaha Agung parti disebabkan RoS telah membatalkan pemilihan CEC sebelum ini, maka bagaimana pula dengan kedudukan Ahli Parlimen dan Wakil Rakyat DAP yang diberi watikah perlantikan menjadi calon oleh Guan Eng pada PRU 13 dan PRN Sarawak 2016.

“Apakah kedudukan Wakil-wakil Rakyat DAP yang bertanding pada PRU 13 lalu dengan watikah yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung DAP yang dipilih secara tidak sah?

“Apakah watikah yang mereka guna untuk jadi calon DAP pada PRU 13 lalu juga menjadi tidak sah?

“Jika tidak sah, apakah terbatal kemenangan mereka dalam PRU 13 itu?

“Bagaimana pula dengan wakil-wakil rakyat DAP yang menang kerusi dalam PRN Sarawak lalu?,” soalnya.

Tambah Azizi, tuduhan-tuduhan DAP yang mendakwa RoS sebagai alat pemerintah untuk menindas parti itu juga boleh dipertikai kerana dalam masa sama Guan Eng sendiri sudah melakukan tipu muslihat walaupun pemilihan semula CEC masih belum diadakan lagi.

“DAP tuduh RoS digunakan oleh parti pemerintah sebagai senjata untuk menindas DAP. Peliknya, yang kena tindas dapat panjangkan talian hayat politiknya pulak…

“Pening jugak nak pikiaq strategi yang diguna pakai ni…,”ulasnya lagi.

 

Sumber – AIDCNews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *