Pembangkang cuma 600 ribu, 5.8 juta netizen belia suka BN

Sebuah kajian firma sosial media mendapati majoriti pengguna Facebook Malaysia kategori belia 21 tahun ke atas lebih menggemari Barisan Nasional(BN) berbanding pakatan pembangkang.

Memetik laporan Malay Mail Online (MMO), kajian terhadap 6.4 juta pengguna belia Malaysia oleh firma Politweet mendapati, seramai 5.8 juta pengguna Facebook memihak kepada BN sementara baki bakinya menyokong pembangkang.

Jumlah berkenaan merangkumi 3.3 juta secara eksklusif menyatakan sokongan kepada pemerintahan semasa berbanding 600 ribu sokongan terhadap pembangkang, sementara 2.5 juta lagi berminat gabungan antara BN dan pembangkang.

Bermakna sejumlah 51.5 peratus menyokong BN, 9.3 peratus menyokong pembangkang dan baki 48.4 lagi berkecuali.

Netizen belia penyokong UMNO paling ramai iaitu seramai 4.4 juta orang atau 68.8 peratus daripada 6.4 juta responden, diikuti PKR (1.8 juta), DAP (1.3 juta), PAS (950 ribu); sementara MCA, Gerakan dan MIC masing-masing 740 ribu, 150 ribu dan 81 ribu.

“Pembangkang mula menunjukkan peningkatan sokongan pada Januari 2017, mencapai kemuncak 16.39 peratus pada Mei. Minat terhadap pembangkang merudum 7.01 mata dua bulan lepas sementara BN meningkat 5.66 mata,” lapor Politweet dipetik MMO.

Kertas kerja “How political interest is divided by language on Facebook in Malaysia” juga mendedahkan bahawa pengguna Facebook belia bersikap berkecuali ekoran hanya menekan butang ‘like’, berkongsi dan berbincang perkara-perakara yang memihak kepada parti disokong mereka sahaja.

Kumpulan berkenaan juga kata Politweet adalah kumpulan yang mendedikasikan diri mereka mempromosikan agenda politik mereka dan menentang pihak yang cuba melawan ideologi dibawanya.

Menurut kajian tersebut lagi, sekiranya jumlah penyokong atas pagar digabungkan bersama penyokong pembangkang sekalipun, jumlah sokongan hanya berjumlah 48.4 peratus.

“Ini bermakna, lebih separuh pengundi atas pagar di Facebook yang berminat dengan politik tidak berminat dengan apa pemimpin pembangkang kongsikan dan lakukan,” ujar kajian tersebut.

Mengulas lanjut, kaedah mengumpul maklumat diperoleh daripada jumlah perkongsian setiap pengguna, interaksi didalam sesuatu kumpulan atau halaman serta jumlah carian di laman sosial seperti ‘Friends of BN’ atau ‘United Malays National Organization’.

Walaubagaimanapun, Politweet menegaskan bahawa minat terhadap sesebuah parti politik tidak bermaksud sokongan kepada parti berkenaan, ia sekadar kesedaran terhadap organisasi tersebut.

 

Sumber – Malaysiandigest

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *