Pemilikan senjata api di AS terlalu mudah

WASHINGTON – Sebanyak 47 laras senjata api dan beribu-ribu butir peluru milik penembak Las Vegas, Stephen Paddock ditemui oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) di tiga lokasi di Nevada.

Pemilikan senjata berbahaya Paddock, 64 dalam jumlah luar biasa itu menimbulkan banyak persoalan.

Jawapannya adalah kerana pemilikan senjata api di AS terlalu mudah terutamanya di Nevada, malah semua senjata api itu dibeli penyerang secara sah.

Namun, Paddock menggunakan pelbagai jenis raifal tempur dan peluru miliknya untuk menembak dan membunuh 58 orang dari tingkap suite penginapannya di tingkat 32 hotel Mandalay Bay di Las Vegas Strip pada malam Ahad lalu.

Lebih 500 orang turut cedera dalam keganasan itu.

Kebanyakan senjata api di AS dijual oleh penjual berlesen yang perlu melakukan saringan latar belakang pembeli.

Biro Penyiasatan Persekutuan akan memeriksa nama pembeli menggunakan Sistem Pengesanan Segera Latar Belakang Penjenayah yang me­nyimpan data penjenayah di tiga buah pangkalan data.

Pangkalan data itu bagaima­napun tidak sempurna dan bergantung kepada laporan oleh pihak berkuasa negeri.

Pelampau kulit putih, Dylan Roof yang membunuh sembilan orang di dalam sebuah gereja kulit hitam di Charleston, South Carolina pada 17 Julai 2015 lulus pemeriksaan latar belakang pembelian pistol beberapa ming­gu sebelum kejadian walaupun dia mempunyai rekod kesalahan dadah.

Namun, sekiranya rekod pembeli bersih seperti yang berlaku pada Paddock, pe­nyerang itu boleh membeli seberapa banyak senjata api yang dia mahu.

“Terdapat beberapa kawalan melibatkan jumlah senjata api yang boleh dibeli,” kata Pe­ngarah Pusat Undang-Undang Pencegahan Keganasan Senjata Api, Laura Cutilletta.

Penjual senjata api berlesen yang mengendalikan sekitar 60 peratus daripada kesemua jualan senjata api di AS mesti melaporkan pembelian berbilang senjata api kepada Biro Alkohol, Tembakau dan Senjata Api, katanya.

“Berbilang di sini bermaksud dua ataupun lebih senjata api oleh pembeli sama dalam tempoh lima hari bekerja.

“Bagaimanapun, pihak ber­kuasa tidak diwajibkan untuk melakukan siasatan mengenainya,” jelas Cutilletta.

Selain dari syarat itu, AS merupakan pasaran terbuka untuk senjata api.

Penjual persendirian yang menjual senjata api terpakai di kebanyakan negeri di AS tidak perlu memeriksa latar belakang pembeli, tambahnya. – AFP

Sumber – kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *