Pencemaran ragut 9 juta nyawa pada 2015

PARIS: Pencemaran meragut kira-kira sembilan juta nyawa pada 2015, satu dalam setiap enam kematian yang direkodkan pada tahun itu.

Satu laporan menyebut, hampir 92 peratus daripada kematian itu berlaku di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Tambahnya, pencemaran udara menjadi penyebab utama kematian, dengan mengorbankan sehingga 6.5 juta orang.

Penyelidik dalam jurnal perubatan The Lancet melaporkan, hampir separuh daripada jumlah kematian itu dilaporkan di dua negara iaitu China dan India.

Di negara perindustrian yang berkembang pesat seperti India, Pakistan, China, Bangladesh, Madagascar dan Kenya, pencemaran menjadi punca satu daripada empat kematian.

“Pencemaran dan penyakit berkaitan kebanyakannya memberi kesan kepada negara miskin dan mangsa selalunya lemah serta tidak mampu bersuara.

“Hasilnya, pencemaran mengancam hak manusia, seperti hak untuk hidup, sihat, baik, bekerja dengan selamat, selain perlindungan kepada kanak-kanak dan golongan paling berisiko,” kata penulis bersama kajian, Karti Sandilya, dari pertubuhan antipencemaran, Pure Earth.

Pencemaran paling teruk, yang bertanggungjawab atas dua pertiga kematian adalah pencemaran udara.

Ia termasuk pencemaran dari kilang dan pelepasan asap kereta slain pencemaran daripada kayu, arang, arang batu, najis lembu atau tanaman yang dibakar untuk tujuan pemanasan dan memasak. – AFP

Sumber – bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *