Pencuri peras ugut pemilik kereta guna kod QR

POLIS di Xian, tengah China, sedang menyiasat kegiatan pencuri memeras ugut pemilik kereta menggunakan kod QR jika mahu mendapatkan kembali cermin pandang sisi kenderaan mereka.

Seorang mangsa, Hu, berkata cermin sisi keretanya jenis Mercedes-Benz, sudah enam kali dicuri dengan yang terbaru, Jumaat lalu.

Menurut South China Morning Post yang memetik laporan Shaanxi Television, nota dengan nombor telefon ditinggalkan pada keretanya dan apabila dihubungi, dia diarah membuat sejumlah bayaran dengan mengimbas kod QR pada nota itu jika mahukan kembali cermin berkenaan.

Pencuri itu menuntut 700 yuan (AS$105) sebelum dikurangkan kepada 500 yuan (AS$75).

Menurut perkara yang sama berlaku ketika cermin sisi keretanya dicuri sebelum ini namun dia enggan membayar wang itu.

“Saya lebih rela beli baru daripada memberi wang kepada pencuri itu,” katanya.

Pemilik kedua yang cermin sisi keretanya juga dicuri minggu lalu, membayar 300 yuan seperti dituntut pencuri dan diarah mengambil cermin berkenaan dalam beg plastik hitam di luar sebuah kedai runcit.

Sumber – hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *