Pendekatan kerajaan untuk laksanakan program benar-benar diperlukan – Radin Malleh

TENOM – Langkah mengoptimumkan perbelajaan kerajaan tidak menjejaskan tumpuan dan usaha melaksanakan program pembangunan di kawasan luar bandar, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Seri Radin Malleh.

Beliau berkata pendekatan kerajaan itu bijak untuk memberi tumpun terhadap pelaksanaan program mengikut keutamaan yang menepati kehendak rakyat.

“Pendekatan kerajaan ialah untuk melaksanakan program yang benar-benar diperlukan ,” katanya ketika merasmikan Majlis Perolehan Undian Manual Projek Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bagi Daerah Tenom, di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pegawai Daerah Tenom, Madiyem Layapan, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Melalap ,Simon Mamat serta pemimpin-pemimpin akar umbi setempat.

Radin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Melalap, mengesa pemimpin masyarakat di daerah itu, agar sentiasa bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan setiap program pembangunan kerajaan dapat dilaksanakan dengan sempurna dan menepati tempoh yang ditetapkan.

Mengulas mengenai program itu, beliau berkata kenaikan peruntukan pembinaan PPRT daripada RM50,000 kepada RM68,000 yang berkuat kuasa pada tahun ini, membuktikan komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat yang tergolong miskin dan daif di negeri ini.

“Kenaikan peruntukan ini juga meningkatkan keyakinan ahli-ahli perniagaan terhadap keupayaan kerajaan, tetapi ia juga merupakan satu cabaran kepada mereka untuk menghasilkan kerjaya yang berkualiti,” katanya.

Pada majlis itu seramai 66 kontraktor binaan dari kawasan Melalap dan Kemabong menyertai undian manual pemilihan projek melibatkan 15 buah PPRT bagi kawasan Melalap dan 10 buah PPRT di kawasan Kemabong.

 

Sumber – Bernama/Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *