Penderma antarabangsa janji sumbang RM1.4 bilion kepada pelarian Rohingya

GENEVA – Penderma-penderma antarabangsa kelmarin berjanji akan menyumbang lebih AS$344 juta (RM1.4 bilion) bagi meningkatkan penghantaran bantuan kemanusiaan kritikal kepada pelarian Rohingya dan komuniti tuan rumah di Bangladesh, lapor agensi berita Xinhua.

Dana turut dijanjikan untuk bantuan kemanusiaan di Myanmar, kata Pesuruhjaya Tinggi Bagi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) dalam satu kenyataan selepas penderma-penderma antarabangsa bertemu di Geneva.

UNHCR berkata, peningkatan dalam keganasan, ketidakstabilan dan keperluan kemanusiaan memaksa hampir 600,000 etnik Islam Rohingya dari utara ne­geri Rakhine, Myanmar melarikan diri ke Cox’s Bazar di Bangladesh sejak 25 Ogos lalu sekali gus mencetuskan krisis pelarian pa­ling pantas berkembang di dunia.

“Para penderma kemanusiaan menzahirkan perpaduan dan belas kasihan mereka kepada keluarga dan masyarakat (Rohingya) yang memerlukan.

“Janji yang amat pemurah ini harus segera diterjemahkan dalam usaha menyelamatkan pelarian yang terdedah kepada bahaya dan menyokong tuan rumah (Bangladesh) yang telah melakukan sehabis baik untuk membantu,” kata Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan dan Bantuan Kecemasan PBB, Mark Lowcock (gambar kecil).

Sebanyak 35 ikrar dibuat pada persidangan di Geneva anjuran Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM), UNHCR dan Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) itu.

PBB dan rakan-rakan kongsi­nya melancarkan pelan tindakan untuk tempoh enam bulan bermula September 2017 hingga Februari 2018 bagi memenuhi keperluan 1.2 juta pelarian yang baru tiba dan sedia ada di Bangladesh. – Bernama

Sumber – kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *