Penganjur perhimpunan akan berdepan tindakan jika gagal patuhi arahan

Polis akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap penganjur perhimpunan ‘Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi’ pada Sabtu ini, sekiranya mereka tidak mengendahkan arahan supaya program itu tidak diadakan di Padang Timur, Petaling Jaya.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya telah menilai lokasi penganjuran itu dan menyifatkan bahawa Padang Timur tidak sesuai untuk mengadakan perhimpunan yang didakwa mensasarkan lebih 20,000 peserta, kerana berhampiran dengan laluan keluar masuk ke Lebuhraya Persekutuan.

“Apa tindakan yang sesuai, saya tidak boleh beritahu kerana kita mahu lihat apa yang akan dilakukan oleh pihak penganjur.

“Kita telah bertemu dengan penganjur dan memaklumkan kepada mereka bahawa kita tidak boleh membenarkan perhimpunan itu diadakan di lokasi tersebut kerana mahu memastikan keselamatan awam, lalulintas dan keadaan penduduk berdekatan tidak terjejas,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Malah Noor Rashid turut memberi amaran kepada pemimpin gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Yunos berhubung cubaan campur tangannya dalam perhimpunan itu.

“Kita juga memantau Jamal. Jika beliau berbuat apa-apa kita akan kenakan tindakan sewajarnya. Jika beliau melanggar undang-undang, kita akan minta supaya beliau ditangkap.

“Nasihat saya kepada Jamal, jangan menganggu perhimpunan itu, dan jangan menimbulkan sebarang masalah dan mencetuskan kekacauan,” tegasnya.

Perhimpunan ‘Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi’ anjuran Pakatan Harapan (PH) itu dijangka diadakan 14 Oktober (Sabtu) ini.

Serentak dengan itu, Jamal juga merancang mengadakan perhimpunan balas pada tarikh yang sama.

 

Sumber – Ismaweb

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *