Pihak berkuasa Myanmar ketatkan kawalan gencatan senjata

YANGON  – Pihak berkuasa Myanmar berkata tiada tanda-tanda serangan oleh kumpulan pejuang Rohingya hari ini selepas berakhirnya gencatan senjata.

Menurut jurucakap kerajaan, Ming Aung, pihak tentera telah mengetatkan kawalan sejak beberapa hari lalu di Sittwe menje­lang hari terakhir gencatan senjata ekoran laporan yang menyebut Tentera Pembebasan Rohingya Arakan (ARSA) akan melancarkan serangan.

“Kami mendapat maklumat ARSA akan melancarkan sera­ngan tetapi sehingga kini tiada laporan tentang serangan itu,” katanya.

Pada Sabtu lalu, ARSA memaklumkan akan menerima sebarang usaha perdamaian yang dikemukakan kerajaan walaupun gencatan senjata berakhir pada tengah malam semalam.

Mereka juga mengulangi tuntutan hak terhadap etnik Ro­hingya yang tidak diiktiraf sebagai kaum minoriti Myanmar dan dinafikan hak kerakyatan di bawah undang-undang yang mengaitkan kewarganegaraan dengan etnik.

Sementara itu penduduk di wilayah Rakhine berkata, bekalan makanan semakin berkurangan kerana tanaman padi belum boleh di­tuai manakala kerajaan te­lah menutup pasar-pasar di kampung-kampung dan mengehadkan bekalan makanan dalam usaha untuk memotong bekalan itu kepada kumpulan pejuang.

Kumpulan hak asasi manusia, Amnesty International berkata, selain kempen keganasan pihak tentera Myanmar, terdapat banyak bukti tentang golongan lelaki, wanita dan kanak-kanak Rohingya melarikan diri berikutan ancaman kebuluran.

Sementara itu, jumlah pela­rian Rohingya yang terkorban akibat kejadian bot karam berhampiran muara sungai Naf, Bangladesh meningkat kepada 23 orang.

Sebanyak lapan lagi mayat mangsa ditemukan terdampar di tebing sungai Naf manakala satu lagi mayat ditemukan di Pulau St. Martin.

Ketua Polis sempadan bandar Teknaf berkata, lebih separuh daripada mangsa merupakan kanak-kanak.

Pada masa yang sama, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mula mengagihkan 900,000 dos vaksin taun di kem-kem pelarian Rohingya di Bangladesh.

Lebih 10,000 kes cirit birit dilaporkan dalam tempoh seminggu malah kumpulan doktor yang bertugas memaklumkan pesakit dengan simptom taun akan meninggal dunia dalam tempoh 36 jam jika tidak dirawat. – REUTERS/AFP

Sumber – utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *