“PMSP ikrar beri sokongan penuh kepada Dzulkifli, pertahankan tindakan SPRM” – Ramesh Rao

Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) hari ini berikrar akan mempertahankan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad walaupun Dzulkifli dan agensi di bawah pimpinannya ditekan oleh pihak tertentu daripada pakatan pembangkang ketika ini.

Presiden PMSP, Ramesh Rao dalam satu kenyataan hari ini, kini pihak SPRM sedang menggempur habis-habisan dalang berkaitan rasuah dan penyelewengan dana Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang dikatakan mencecah RM1.5 bilion dan pada masa sama menerima tekanan dari pembangkang.

Beliau berkata kenyataan seorang bekas Menteri Kabinet bahawa siasatan pihak SPRM dalam kes itu bermotifkan politik adalah satu kenyataan memperlekehkan SPRM dan cuba mengganggu siasatan kes berkenaan.

“Kita faham bahawa yang kena siasat ini kes melibatkan banyak pemimpin dari parti beliau iaitu Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal jadi apabila terkena pada pembangkang, SPRM akan dituduh macam-macam termasuk buat siasatan bermotifkan politik.

“Oleh itu, kami dari PMSP berikrar memberi sokongan penuh kepada Dzulkifli dan mempertahankan tindakan SPRM dalam apa juga kes melibatkan rasuah supaya ia dapat dibanteras dan dalang-dalang yang terlibat dibawa ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan berkenaan.

Selain itu, Ramesh berkata pihaknya juga terus menyokong dan mempertahankan kewibawaan Dzulkifli biarpun ada dipalit dengan isu skandal yang sedang tular ketika ini melibatkan hubungan beliau dengan isteri orang sehingga berlaku perceraian.

Beliau turut mengajak semua pihak memberikan sokongan kepada Dzulkifli dan SPRM supaya terus menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan tegas dan rasuah dapat dibanteras dalam negara ini biarpun cuba dihalang dengan berbagai-bagai cara.

“Jangan pedulikan tekanan dan fitnah yang cuba dilemparkan kepada beliau kerana itu merupakan taktik pihak tertentu memberikan tekanan kepada SPRM yang semakin agresif membanteras rasuah dalam negara ini.

“Marilah kita semua sokong dan pertahankan Ketua SPRM,” katanya.

Dalam kes penyelewengan dana di Sabah itu, pada 5 Oktober lepas, SPRM dilaporkan menyita RM29 juta lagi dalam siasatan terbaru kes berkenaan. Ia didedahkan Dzulkifli ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan Ke-9 di ibu negara pada hari berkenaan.

Sebelum itu, pihak SPRM sudah menyita lebih RM150 juta dalam akaun bank dalam kes penyelewengan terbaru di Sabah dan kemudian RM29 juta pula dibekukan.

Semalam, pihak SPRM menggeledah rumah seorang ahli perniagaan, Hamid Apdal yang juga adik kepada Mohd Shafie. Lima pegawai dan anggota SPRM datang ke rumah beliau pada pukul 3 petang dan dilaporkan mereka meninggalkan rumah berkenaan pada pukul 6 petang.

Ramesh berkata, pihak SPRM perlu sentiasa konsisten dan tegas biarpun cuba diganggu oleh pihak lain khususnya pembangkang apabila ada pemimpin mereka disiasat atau ditahan.

“Semua pihak berdiri teguh di belakang SPRM menyokong usaha mereka membanteras gejala rasuah dengan pimpinan Dzulkifli yang tegas dalam menjalankan tugasnya,” kata Ramesh.

 

Sumber – smasanews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *