Polis Pakistan umum ganjaran RM21,145 tangkap penyerang bersiri

KARACHI: Polis Pakistan mengumumkan ganjaran hampir AS$5,000 (RM21,145) hari ini bagi maklumat yang dapat membantu menangkap penyerang bersiri yang sudah menikam 11 wanita setakat ini di bandar raya Karachi.

Serangan bermula lewat bulan lalu apabila seorang lelaki bermotosikal secara rambang mula mencederakan wanita yang berjalan di jalan raya di timur bandar raya itu.

Ia memuncak lewat semalam apabila penyerang mensasarkan lima wanita di beberapa bahagian berbeza di kawasan kejiranan, menjadikan jumlah keseluruhan wanita yang diserang adalah 11 dan membimbangkan pihak berkuasa.

Rakaman kamera litar keselamatan mengenai satu serangan menunjukkan lelaki menikam wanita memakai burqa dari belakang dan melarikan diri, kata polis.

“Dia menyerang wanita dari belakang dengan objek tajam. Kami menangkap sekurang-kurangnya lapan individu yang ada penampilan sama dengan penyerang,” kata pegawai kanan polis, Samiullah Soomro.

Polis mengumumkan ganjaran 500,000 rupee bagi maklumat yang membawa kepada penangkapan penyerang itu.

“Tumpuan penuh kami kepada kes ini dan berharap dapat menangkap penjenayah itu dengan segera,” kata Soomro. – AFP

Sumber – bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *