Pusat konvensyen: Tak ada mesyuarat ‘town hall’, ‘one-way dialog’ sahaja – Razman

PUTRAJAYA: Kecewa tiada penyelesaian daripada kerajaan negeri, Persatuan Penduduk Jalan ABC, Taman Melawati hari ini bertindak membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat pertukaran status tanah di kawasan itu.

Pengerusinya, Razman Hakimi Abdullah berkata tindakan melaporkan kepada agensi penguatkuasa itu diambil selepas pihaknya mengadakan mesyuarat pada 23 September lalu.

“Kita serahkan kepada SPRM untuk menyiasat pertukaran status tanah daripada pusat kemudahan infrastruktur itu kepada pusat konvensyen.

“Kita hendak tahu apakah yang berlaku terhadap tanah itu, untuk mereka tentukan ada salah guna kuasa atau tidak dalam isu penukaran status tanah PT1483 itu,” katanya ketika ditemui media di hadapan ibu pejabat SPRM Putrajaya, petang tadi.

Razman terdahulu membuat laporan kepada SPRM pada jam 2.20 petang tadi sebelum mengadakan sidang media.

Laporan itu dibuat berdasarkan bantahan mereka terhadap tindakan kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) Selangor membina pusat konvensyen di tanah yang sepatutnya dijanjikan pusat kemudahan infrastruktur kegunaan penduduk.

Taman Melawati merupakan salah satu kawasan yang diwakili oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di kerusi Parlimen Gombak.

Kawasan itu juga diwakili Saari Sungib selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang.

Cadangan pembinaan pusat konvensyen berkeluasan 3.37 ekar itu di atas sebidang tanah, yang juga menempatkan gelanggang futsal, dan bersebelahan dengan pejabat khidmat wakil rakyat Azmin.

Tiada perbincangan dengan penduduk

Razman sebelum ini berkata pihak penduduk hanya mengetahui cadangan pembinaan pusat konvensyen itu pada penghujung Mei lalu.

Sime Darby Sdn Bhd merupakan pemaju bertanggungjawab membina pusat konvensyen itu, juga pemaju yang sama menaikkan pusat beli belah Melawati.

“Kita pernah beritahu mereka (kerajaan negeri dan pemaju), pembinaan pusat konvensyen yang boleh menempatkan beribu orang itu, akan menambahkan lagi masalah lalu lintas yang teruk.

“Masalah lalu lintas (sedia ada) pun belum selesai lagi seperti yang diminta,” ujarnya.

Razman juga mendakwa pihak penduduk tidak dipanggil untuk sebarang mesyuarat ‘town-hall’ sebaliknya ‘one-way dialog’ sahaja sekadar memaklumkan pembinaan pusat konvensyen itu.

“Kita tidak ada mesyuarat ‘town hall’, sebaliknya ‘one-way dialog’ pada 28 September lalu di pejabat Azmin. Di dalam mesyuarat itu ada pegawai Azmin dan Saari Sungib.

“Di dalam mesyuarat itu mereka kata tidak ada ‘public hearing’ dibuat untuk pusat kemudahan infrastruktur. Bermakna mereka hanya beritahu apa yang kita hendak buat sahaja, dan terima,” ujarnya lagi.

Sebelum ini Azmin pernah memberi jaminan bahawa pembinaan pusat konvensyen itu tidak akan menjejaskan pusat kemudahan awam berhampiran kawasan perumahan penduduk di Taman Melawati.

Bagaimanapun penduduk di Taman Melawati tetap tidak bersetuju dengan pembinaan berkenaan kerana mendakwa ia akan menyebabkan masalah lalu lintas yang semakin teruk.

 

Sumber – Antarapos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *