Ramasamy buktikan DAP mahu rampas jawatan Perdana Menteri.

Timbalan Setiausaha Agung DAP, Dr. P. Ramasamy berkata, pemimpin yang paling layak untuk dipertimbangkan memegang jawatan Perdana Menteri ialah Kit Siang kerana berdasarkan sejarah dan pengalamannya dalam politik negara.

“Beliau (Kit Siang) menghabiskan bertahun-tahun berjuang un­tuk demokrasi dan keadilan dengan mengorbankan hidup sendiri dan juga ahli keluarganya, malah dipenjarakan dua kali di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana politik.

“Daripada semua pemimpin parti politik, orang yang paling bersikap rendah diri ialah Kit Siang, beliau adalah calon utama perlu dipertimbangkan untuk jawatan nombor satu negara ini, sama ada beliau mahu atau tidak memegang jawatan tersebut, ia perkara yang berbeza,” katanya dalam kenyataan seperti yang disiarkan portal Berita Daily hari ini.

Semalam, Zaid menyifatkan pelantikan Ahli Parlimen Gelang Patah itu sebagai Perdana Menteri adalah satu idea yang bernas.

Menurut beliau, jika Pakatan Harapan menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) mungkin cadangan untuk menjadikan Kit Siang sebagai Perdana Menteri bukan cadangan yang buruk.

Dalam sidang akhbar di Pulau Pinang pada 25 Ja­nuari lalu, Kit Siang mengakui bukan menjadi kesalahan ke­pada sesiapa untuk mempunyai cita-cita tinggi menjadi Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, tanpa kehadiran Kit Siang, Pulau Pinang dan beberapa negeri lain tidak akan jatuh ke tangan pembangkang, kata Ramasamy.

“Kit Siang mungkin dalam pertengahan usia 70-an tetapi beliau sentiasa bersemangat untuk bertugas di seluruh negara dengan menyampaikan ceramah dan mengadakan sidang akhbar.

“Sekiranya DAP dianggap parti terkuat di dalam Pakatan Harapan, maka kredit perlu diberikan kepada Kit Siang,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *