Saya tidak baling batu sembunyi tangan, ini prinsip saya – Jamal Yunos

AMPANG – Pengerusi Gabungan NGO Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos bersedia dikenakan tindakan kerana menggunakan gambar wajah mirip Datuk Mohamed Azmin Ali pada kotak aiskrim dalam kempennya.

Beliau berkata, penggunaan gambar tersebut sebagai simbolik menunjukkan sikap sebenar Menteri Besar Selangor itu dalam isu penganjuran secara terbuka pesta arak di Selangor.

“Rakan-rakan lain nak minum arak kami tiada halangan. Saya bersedia untuk menerima sebarang tindakan di atas apa yang saya lakukan. Saya tidak baling batu sembunyi tangan, ini adalah prinsip saya.

“Saya mengalu-alukan Azmin saman saya dan ambil tindakan ke atas saya supaya kita boleh dedahkan gambar tersebut adakah ia gambar beliau,” katanya kepada pemberita dalam siri Jelajah Dapat Aiskrim Percuma atau singkatannya DAP yang bermula di kompleks beli-belah Ampang Point, di sini.

Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu melakukan gimik membawa kotak aiskrim di atas motorsikal berkuasa tinggi beliau di luar pekarangan kompleks beli-belah Ampang Point, di sini.

Jamal yang memakai jaket kulit serba hitam kemudiannya mengedarkan aiskrim percuma kepada pengunjung yang berada di pusat beli-belah berkenaan hampir 10 minit tanpa insiden yang tidak diingini berlaku.

Walaupun beliau dinasihatkan untuk membatalkan siri jelajah DAP itu dan pergerakannya diperhatikan pihak berkuasa, namun Jamal tetap meneruskan hasratnya mengedarkan aiskrim percuma.

“Saya lihat beratus-ratus orang penguatkuasa menunggu saya, saya tidak membuat perkara yang menyalahi undang-undang. Saya juga dinasihatkan membatalkan program hari ini.

“Bagi saya, adakah yang saya buat ini mencerminkan satu perkara yang tidak baik atau menyalahi undang-undang?” soalnya.

Beliau juga mengulangi pendiriannya siri Jelajah DAP itu tidak akan dihentikan sehinggalah Azmin membuat pendirian jelas dengan membatal dan tidak mempromosikan lagi pesta memabukkan itu.

“Tujuan kami adalah untuk mendesak menteri besar menghenti, mengharamkan atau tidak mempromosikan pesta arak ini. Kempen ini kami akan buat setiap hari dalam Selangor.

“Ia berterusan sehingga kami mendengar Azmin Ali dengan jelas pendiriannya tidak membenarkan pesta arak yang membawa kepada kemudaratan dalam kalangan anak-anak muda dalam negara kita ini.

“Jadi kami akan menghentikan pesta arak dengan mempromosikan kempen aiskrim ini,” katanya.

Katanya, selepas ini beliau akan membuat kempen DAP itu di Gombak yang juga kawasan menteri besar sendiri.

“Lepas di Ampang Point ini, saya mungkin akan turun ke Gombak dan membawa tong-tong aiskrim ini ke kedai-kedai mamak dan sebagainya,” katanya lagi.

 

Sumber – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *