Sebagai ahli PAS, hanya boleh bertanding atas parti PAS saja – Ahmad Samsuri

SHAH ALAM: PAS boleh mengenakan tindakan terhadap Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar, sekiranya benar beliau mahu menjadi calon mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pun begitu ujar Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar, parti hanya boleh bertindak apabila perkara itu benar-benar berlaku kelak.

“Bila sampai waktu begitu, kita tengoklah macam mana apa yang kita (PAS) boleh buat. Sebagai ahli PAS sesiapa saja, hanya boleh bertanding atas parti PAS saja.

“Jadi kalau tidak bertanding atas parti, dengan sendirinya (akan) ada implikasi lain,” katanya ketika dihubungi Antarapos.

Ketika ditanya mengenai desas-desus bahawa nama bekas naib presiden PAS itu mungkin tidak akan tersenarai sebagai calon PRU14, Samsuri berkata sehingga kini parti masih belum memuktamadkan perkara berkenaan.

“Saya sendiri pun tak tengok lagi senarai calon (PAS PRU14), jadi kalau nak kata (Mahfuz) tercalon ke tidak tak tahulah,” ujar beliau.

Mahfuz sebelum ini memberitahu Antarapos bahawa beliau terbuka untuk bertanding atas tiket PH pada PRU14, walaupun sehingga kini masih ahli PAS.

Katanya lagi, beliau menyerahkan kepada PH sama ada memerlukan khidmatnya atau tidak pada PRU14 nanti.

Ini kerana beliau percaya hanya PH mampu menumbangkan Umno-Barisan Nasional (BN).

Sementara itu mengulas mengenai kes saman membabitkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown, Samsuri berkata setakat ini Presiden PAS masih lagi belum menerima tarikh perbicaraan.

“Kita optimis bahawa Tuan Guru (Hadi) akan menang kes, insyaAllah,” katanya lagi.

 

Sumber -ze-/Antarapos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *