Sebelum nak komen apa-apa, mereka kena tahu isu sebenar – Jamal

SUNGAI BESAR – Persatuan Patriot Kebangsaan digesa memahami dengan lebih mendalam isu berhubung pesta arak di Selangor yang mengundang isu sensitiviti terhadap umat Islam.

Pengerusi NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, desakan persatuan terbabit yang ingin melucutkan keahlian beliau sebagai ahli kehormat Persatuan Veteran Pasukan Khas Kuala Lumpur, adalah isu kecil berbanding pesta arak yang ingin diadakan di negeri ini.

Jamal berkata, desakan itu menggambarkan bahawa persatuan terbabit terbawa-bawa dengan khabar angin dan sembang-sembang di kedai kopi.

“Sebelum nak komen apa-apa, mereka kena tahu isu sebenar.

“Apa yang mereka lakukan ini sebenarnya mereka tidak tahu tentang isu yang saya bawa,” katanya kepada Sinar Harian.

Jamal berkata, isu yang dibawa beliau bersama-sama rakan NGO lain adalah sebagai gimik bagi menyatakan bantahan penganjuran pesta arak.

“Ini bermakna kami tidak bersetuju dengan Kerajaan Negeri Selangor untuk membenarkan pesta arak diadakan di negeri ini,” katanya.

Jamal yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar berkata, banyak pihak menyokong tindakan beliau mengadakan demonstrasi memecahkan botol arak di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sebagai mewakili suara bantahan rakyat negeri ini.

“Kebanyakan NGO dan parti politik di Selangor telah pun menyatakan bahawa pesta arak ini adalah tidak baik kerana ia adalah satu perkara yang tidak bermoral dan boleh mendatangkan kesan jangka masa panjang yang tidak baik kepada rakyat.

“Pendirian saya jelas tetap teruskan bantahan ini.

“Daripada menganjurkan pesta arak, lebih baik menganjurkan pesta aiskrim,” katanya.

Beliau turut meminta pihak terbabit menyatakan pendirian adakah mereka bersetuju kerajaan Selangor mengadakan pesta meminum arak di negeri ini atau pun sebaliknya.

“Kepada rakan-rakan yang tidak faham, lebih baik datang berjumpa dengan saya dan saya boleh jelaskan.

“Janganlah tak tahu hujung pangkal atau tak tahu isu nak bercakap tentang isu ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Jamal sebelum ini bertindak memecahkan kira-kira 100 botol arak menggunakan tukul besi di Bangunan SUK, 5 Oktober lalu.

Persatuan Patriot Kebangsaan menerusi kenyataan medianya mendesak keahlian Jamal sebagai ahli kehormat Persatuan Veteran Pasukan Khas Kuala Lumpur, dibatalkan.

Menurut kenyataan itu, tindakan Jamal seperti membawa keranda, tuala mandi hingga kepada tindakan memecahkan botol bir telah mencemari imej persatuan tersebut.

 

Sumber – Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *