Selepas Hina Bugis, kini Mahathir dakwa ada melayu keturunan lanun.

Setelah menerima tekanan akhirnya Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi penjelasan mengenai kenyataannya berhubung orang Bugis sebagai lanun.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, apa yang dikatakannya itu hanya dituju kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sahaja bukannya kepada komuniti Bugis di negara ini.

“Ucapan saya dituju kepada Najib yang sering mendakwa ia adalah pahlawan Bugis.

“Pahlawan Bugis tidak mencuri. Najib pencuri besar dan dikenali sebagai penyamun oleh seluruh dunia,” katanya menerusi tulisan terbaru di laman blog chedet.cc hari ini.

Sebelum ini, Mahathir menerima kritikan dan bantahan terutama daripada persatuan berkaitan kaum Bugis ekoran kenyataannya semasa Himpunan Selamatkan Malaysia, Bantah Kleptrokasi di Petaling Jaya baru-baru ini.

Mahathir turut mempersoalkan apakah orang Bugis boleh menyambut baik seorang pemimpin yang didakwanya sebagai penyamun untuk digelar sebagai seorang pahlawan Bugis.

Katanya, di Malaysia ada raja yang berketurunan Bugis dan ada Melayu yang berketurunan lanun.

Sebelum ini, satu pertubuhan Bugis yang bernama Perhimpunan Pemuda Bugis Makassar Indonesia (PPBMI), di Jakarta telah mendesak Dr Mahathir Mohamad meminta maaf secara terbuka ekoran kenyataan menghina keturunan Bugis dalam satu perhimpunan di Selangor baru-baru ini.

PPBMI membuat desakan itu menerusi satu memorandum bantahan yang diserahkan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia lewat petang tadi.

Ketua Umum PPBMI Arwin Welhalmina dalam kenyataannya berkata, Dr Mahathir telah merendahkan taraf dirinya sendiri sebagai bekas perdana menteri apabila mengeluarkan kata-kata penghinaan terhadap sesuatu keturunan.

Beliau berkata, keturunan Bugis adalah satu bangsa yang diasporanya berjaya di seluruh dunia dan Dr Mahathir harus sedar bahawa Bugis adalah etnik yang memainkan peranan penting dalam pembentukan kerajaan dan kesultanan Melayu.

Katanya, walaupun tujuan Dr Mahathir mengaitkan keturunan Bugis kerana mahu menyinggung perasaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tetapi penghinaan yang dibuat itu menyinggung perasaan keturunan Bugis di seluruh dunia terutamanya di Indonesia.

Dr Mahathir ketika berucap dalam satu perhimpunan pada 14 Okt mengaitkan keturunan Najib dengan menyebut sebagai keturunan “lanun Bugis”.

Arwin berkata, pihaknya mendesak Dr Mahathir memohon maaf dan menarik balik kenyataannya itu atau pihaknya akan membuat demonstrasi besar-besaran di hadapan kompleks Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sebagai menzahirkan bantahan mereka.

Sementara itu, Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim memberitahu Bernama, Dr Mahathir harus membuat permohonan maaf segera atas keterlanjurannya itu kerana ia membawa masalah kepada rakyat Malaysia di Indonesia.

“Sebagai seorang negarawan, Dr Mahathir tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata seumpama itu dan kini beliau meletakkan pihak kedutaan dan rakyat Malaysia dalam bahaya kerana kata-katanya telah menimbulkan kemarahan rakyat tempatan yang berketurunan Bugis,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *