Semangat, keyakinan Gerakan kian meningkat hadapi PRU14 – Mah

SANDAKAN – Semangat dan keyakinan Gerakan kian meningkat untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang, kata Presidennya Datuk Seri Mah Siew Keong.

Beliau berkata keyakinan itu menjadi faktor penting untuk parti mempertahankan kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU14 akan datang seterusnya membantu kemenangan Barisan Nasional (BN).

“Kami bertambah yakin dan tiada rasa bimbang dalam kalangan pemimpin dan anggota parti di peringkat negeri dan pusat untuk menghadapi PRU akan datang. Semangat dan keyakinan itu berbeza ketika menghadapi PRU13,” katanya.

Mah yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda dan Wanita Gerakan Sabah di sini, semalam.

Beliau turut mengingatkan pemimpin dan anggota parti itu di semua peringkat untuk menyokong mana-mana individu yang dicalonkan BN dalam PRU akan datang termasuk di kawasan yang tidak diwakili parti itu.

Katanya memang terdapat ramai individu yang berkaliber dalam parti itu untuk dicalonkan tetapi semua pihak harus akur apabila pucuk pimpinan membuat keputusan.

“Apa yang penting adalah perlu mengutamakan bekerja sebagai satu pasukan dalam perjuangan parti dan memastikan kemenangan BN pada PRU akan datang. Ia bukan sahaja menjadi elemen penting dalam parti malah dalam kerjasama dengan parti lain dalam komponen BN,” katanya.

Mah berkata banyak cabaran akan dihadapi pada PRU akan datang disebabkan ramai pengundi iaitu kira-kira 40 peratus adalah golongan muda berusia 21 hingga 39 tahun.

Justeru, katanya, pengundi muda ini harus didekati menggunakan medium digital yang sesuai agar mereka diberi maklumat yang betul dan tidak diperdaya oleh parti pembangkang.

 

Sumber – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *