Seorang doktor Filipina dituduh salur dana kepada pengganas

Manila: Seorang doktor Filipina yang dituduh menyalurkan dana untuk satu serangan Daish di New York, Amerika Syarikat (AS) menafikan tuduhan itu dan berikrar melawan permintaan ekstradisi ke AS, kata peguamnya semalam.

Russell Salic, 37, dan dua lagi tertuduh didakwa terbabit dalam rancangan menyerang beberapa sasaran di New York ketika Ramadan pada 2016.

Peguamnya, Dalomilang Parahiman berkata, Salic yang bertugas di sebuah hospital di selatan Filipina tidak mempunyai hubungan dengan mana-mana kumpulan pengganas.

“Salic memberitahu dia marah dengan aktiviti pengganas. Kata Salic, dalam Islam, keganasan adalah haram. Salic berpegang teguh pada ajaran Islam dan dia solat lima kali sehari,” katanya.

Jabatan Keadilan AS menuduh Salic memindahkan wang AS$423 (RM1,785) pada Mei 2016 kepada seorang suspek untuk membiayai serangan yang dirancang melalui aplikasi mesej di Internet.

Serangan terhadap sistem kereta api bawah tanah New York, Times Square dan beberapa acara konsert itu dipatahkan oleh seorang ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI) yang menyamar sebagai anggota Daish.

Parahiman memberitahu, Salic secara suka rela menyerah diri kepada pihak berkuasa Filipina pada April lalu dan bukan ditangkap seperti didakwa AS.

Tentera Filipina kelmarin mendakwa Salic mempunyai hubungan dengan militan Daish yang menyerang Marawi dan memberi dana kepada militan di AS, Asia Barat dan Malaysia. – AFP

Sumber – hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *