Sepanyol di ambang huru-hara, Raja Sepanyol gesa Catalonia henti usaha berpisah

MADRID – Sepanyol di ambang huru-hara berpanjangan ekoran keputusan Raja Sepanyol, Raja Felipe VI menggesa Catalonia menghentikan usaha untuk berpisah dari negara ini.

Presiden Catalonia, Carles Puigdemont semalam mendakwa keputusan raja itu sengaja mengabaikan hasrat jutaan penduduk wilayah terbabit yang tidak mahu lagi berada di bawah pentadbiran Sepanyol.

Kenyataan Puigdemont itu dibuat sehari selepas Raja Felipe VI menggesa pihak berkuasa mempertahankan apa yang disifatkan Presiden berkenaan sebagai ‘perintah Perlembagaan’ ekoran pungutan suara yang diharamkan dan dicemari dengan keganasan polis.

“Raja memilih untuk menyo­kong keputusan kerajaan dan dasar-dasar yang membawa ben­cana kepada Catalonia. Ba­ginda sengaja mengabaikan hasrat jutaan penduduk Catalan,” katanya seperti lapor Al-Jazeera.

Pemimpin di wilayah timur laut Sepanyol yang kaya dan mempunyai 7.5 juta penduduk itu mengadakan pemilihan Ahad lalu mengabaikan keputusan kerajaan di Madrid yang mengisytiharkannya tidak sah.

Sekurang-kurangnya 893 orang awam dan 431 anggota polis ce­dera dalam pertempuran Ahad lalu ketika berlangsungnya pungutan suara yang didakwa Puigdemont disertai 2.26 juta pengundi atau bersamaan 42 peratus pemilih berdaftar.

Menurut kerajaan Catalonia, sebanyak 90 peratus pengundi pungutan suara itu menyokong perpisahan wilayah itu dari Sepanyol namun tinjauan orang ramai menunjukkan penduduk Catalan kini berpecah.

Puigdemont dalam ucapannya menggesa kerajaan untuk mene­rima rundingan damai dalam kebuntuan politik itu.

Sementara itu, Catalonia bercadang untuk mengumumkan kemerdekaan pada Isnin ini.

Seorang anggota Parlimen Catalan, Mireira Boya dari Parti Popular Unity Candidacy (CUP) berkata, pengisytiharan kemerdekaan akan disusuli satu sesi Parlimen Isnin ini bagi menilai keputusan pemilihan pada 1 Oktober lalu untuk berpisah.

Pemisahan Catalonia juga seakan memberi ‘harapan gelap’ kepada gergasi bola sepak Sepanyol, FC Barcelona yang kini menduduki tangga teratas La Liga.

Presidennya, Josep Maria Bartomeu berkata, pasukan itu akan mempertimbangkan pilihan untuk meninggalkan liga tersebut.

Sumber – utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *