Sidang media isu bantahan pembinaan sebuah kompleks perniagaan bertukar kecoh

PANDAN – Sidang media Ketua MCA Bahagian Pandan, Datuk Leong Kok Wee berhubung isu bantahan pembinaan sebuah kompleks perniagaan di sini, baru-baru ini kecoh apabila berlaku perang mulut antara Kok Wee dan Adun Teratai, Tiew Way Keng.

Kok Wee berkata, pihaknya menerima aduan daripada penjaja dan peniaga kecil kawasan tersebut berhubung bantahan cadangan pembinaan sebuah kompleks perniagaan itu.

“Saya dimaklumkan tapak ini merupakan tanah rizab pasar, para peniaga tak setuju kompleks itu dibina di tapak berkenaan. Mereka juga mahu tahu kenapa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) boleh luluskan projek berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Way Keng berkata, beliau amat kecewa dengan tindakan ahli politik berkenaan yang dilihat cuba memanipulasi peniaga pasar berhubung isu itu.

“Saya ada bukti berserta dokumen berhubung perkara yang dibangkitkan oleh peniaga dan ahli politik itu.

“Hasil semakan dari Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, sejak tahun 1990 tanah ini adalah merupakan tanah persendirian dan ia tidak pernah diserahkan kepada kerajaan negeri, statusnya pula adalah bangunan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya peniaga ada bantahan mengenai cadangan projek pembinaan ini, ia boleh dimaklumkan kepada MPAJ.

“MPAJ memaklumkan kepada saya, mereka tak terima sebarang surat bantahan daripada peniaga,” katanya.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Taman Muda Selangor, Chow Chee Keen pula berkata, selain tidak bersetuju pembinaan kompleks itu, peniaga juga mahu pasar baharu yang lebih selesa dibina untuk pengunjung.

“Peniaga pasar mahu pasar baharu itu dibina di tapak lain sebab tapak sedia ada berada di atas rizab jalan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Pegawai Komunikasi Korporat MPAJ, Norhayati Ahmad berkata, hasil semakan pihaknya mendapati tanah yang didakwa oleh peniaga itu merupakan tanah hak milik sementara.

“Saya juga difahamkan tiada tanah rizab untuk pasar di kawasan itu,” katanya.

 

Sumber – Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *