Simpan Duit Syiling Selama 2 Tahun Untuk Beli Hadiah Hari Jadi Isteri

Bagi lelaki, membeli hadiah untuk isteri mereka adalah satu perkara yang merungsingkan kerana sukar untuk membuat keputusan dan ia juga melibatkan isu kewangan terutama sekali jika barang yang diidamkan oleh isteri itu terlalu mahal.

Tetapi tidak untuk seorang lelaki bernama Wang daripada Taiwan kerana dia telah lama merancang ingin menyimpan duit untuk belikan hadiah yang paling istimewa untuk isterinya.

Beberapa hari yang lalu, pekerja kedai barang kemas, Manhua Jewellery terkejut apabila Wang muncul di hadapan kedai mereka bersama satu tabung khinzir yang besar.

Disebabkan berasa tersentuh dan kagum dengan tindakan Wang, kedai barang kemas itu telah berkongsi cerita Wang di Facebook mereka dan ‘posting’ itu telah menarik perhatian netizen sehingga menjadi viral.

“Ia sudah lewat malam apabila seorang pelanggan ini datang ke kedai kami dan bertanya, ‘Adakah kamu terima duit syiling? Saya ingin membeli beberapa barang kemas.’

Kami menjawab yang kami terima duit syiling, lalu lelaki itu masuk ke dalam kedai sambil membawa tabung besar berwarna merah itu.  Ia kelihatan sangat berat dan lelaki itu kelihatan seperti ingin menyeret sahaja tabung itu.”

Tabung merah berbentuk khinzir itu sangat penuh dan gemuk sehingga ia kelihatan seperti akan meletup bila-bila masa sahaja.  Wang juga terpaksa memotong tabung itu menggunakan pisau untuk mengeluarkan ke semua duit syiling.

“Dia telah menuang duit syiling itu ke dalam dua bekas yang kami sediakan dan ia memerlukan empat orang pekerja untuk mengira duit syiling itu.”

“Dan, ketika kami sedang mengira duit itu, Wang telah mengatakan, ‘Saya sering teringin untuk membelikan hadiah hari jadi yang baik kepada isteri saya, jadi saya dapatkan tabung ini untuk menyimpan duit.  Saya suap khinzir ini dengan duit syiling setiap hari dan telah melakukannya selama dua tahun.  Akhirnya, simpanan saya telah mencukupi!’

“Itu adalah kali pertama kami berada di dalam keadaan yang begitu sentimental sehingga kami semua berasa tersentuh dengan perbuatan lelaki itu. Kami telah bantunya memilih rantai dan gelang emas yang cantik untuk hadiah hari jadi isterinya. “

Sewaktu Wang keluar daripada kedai itu, salah seorang pekerja kedai mengatakan yang isteri Wang telah berkahwin dengan orang yang betul kerana wang seorang lelaki yang sangat baik dan romantik.

Kedai emas itu juga telah memuat naik video yang menunjukkan Wang sedang menuang duit syiling ke dalam bekas serta barang kemas yang dibeli Wang.

Menurut laporan, jumlah keseluruhan duit syiling simpanan Wang itu adalah TWD31,000 (RM4,370).

Wang turut membalas ‘posting’ yang dilakukan oleh kedai barang kemas itu dengan menulis komen, “Saya sangat berterima kasih atas bantuan kalian.  Isteri saya sangat menyukai hadiah itu dan dia kelihatan cantik ketika memakainya.  Kebanyakan bank tidak mahu menerima duit syiling tetapi anda malah telah bantu saya memilih hadiah yang paling sempurna dengan gembira. Terima kasih.”

-utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *