SPRM: Jika ada bukti, Shafie akan ditangkap

SEMPORNA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menahan bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal jika didapati bertanggungjawab dalam penyelewengan dana kebajikan kementerian itu antara tahun 2009 hingga 2015.

Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya ada bukti diperoleh yang mengaitkan pembabitan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu.

“Kita akan panggil sesiapa sahaja yang mempunyai kaitan. Jika ada keperluan, kami akan tangkap,” katanya semalam seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Mohd. Shafie bakal ditahan memandangkan pemimpin itu menerajui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ketika penyelewengan itu berlaku.

Loji tersebut yang kononnya ‘siap’ pada tahun 2015 menimbulkan keraguan apabila dibina di sungai yang cetek, malah tiada sistem saliran untuk menyalurkan air kepada 4,000 penduduk di kawasan sekitarnya sehingga terpaksa bergantung kepada air perigi sejak 30 tahun lalu.

Minggu lalu, SPRM yang membuka kertas siasatan terhadap Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mendapati sebanyak RM1.5 bilion diseleweng daripada RM7.5 bilion peruntukan kerajaan yang disalurkan antara 2009 hingga 2015.

Berikutan itu, lebih 10 akaun mengandungi RM179 juta dibekukan dan sehingga hari ini tujuh individu ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17a Akta SPRM 2009.

Individu terbaharu ditangkap kelmarin ialah Hamid Apdal, 52, iaitu adik Mohd. Shafie kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan akaun yang telah dibekukan.

Enam lagi yang ditahan ialah Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony, 46; bekas Timbalan Setiausaha Bahagian Kementerian Luar Bandar dan Wilayah, Norhartarty Rahmat, 40; ahli perniagaan, Yu Sin Kong, 52; Ketua Wira Wa­risan, Datuk Mohd. Azis Jamman; Ketua Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar dan Ketua Pemuda UMNO Tawau, Ariffin Kassim.

 

Sumber – Antarapos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *