Teman wanita suspek tidak tahu rancangan suspek lakukan serangan

LAS VEGAS: Biro Siasatan Persekutuan (FBI) semalam, menyoal siasat teman wanita suspek insiden tembakan di sini, pada Ahad lalu bagi mengenal pasti faktor yang mendorong tindakan Stephen Paddock.

Marilou Danley tiba di Amerika Syarikat dari Filipina, pada lewat malam Selasa, dianggap mempunyai ‘kepentingan’ dalam kejadian yang mengorbankan 58 mangsa dan mencederakan lebih 500 penonton konsert di Las Vegas.

Bagaimanapun, ahli keluarga Danley di Filipina memberitahu wartawan, bahawa beliau seorang yang baik dan tidak mengetahui langsung mengenai rancangan suspek untuk melakukan serangan berkenaan.

Dalam pada itu di Los Angeles, AFP melaporkan, Danley memaklumkan bahawa beliau tidak mengetahui rancangan teman lelakinya untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai itu.

“Setahu saya, Stephen seorang yang baik, tenang dan amat mengambil berat mengenai orang lain.

“Saya amat menyintainya dan berharap untuk meneruskan kehidupan dengan tenang bersamanya.

ORANG awam meletakkan jambangan bunga di tempat khas bagi mengenang mangsa nahas tembakan di Las Vegas. – Foto AFP
“Dia tidak pernah memberitahu saya mengenai rancangan itu atau melakukan tindakan yang boleh menjadikan amaran untuk saya bahawa sesuatu yang dahsyat seperti ini akan berlaku,” katanya dalam satu kenyataan yang dibacakan oleh peguamnya.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengunjungi Las Vegas semalam, bagi memberi penghormatan dan sokongan kepada pasukan penyelamat. – Reuters/AFP

Sumber – bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *