Tiada halangan untuk guru sokong mana-mana parti politik

Kementerian Pendidikan tidak menghalang mana-mana guru menyokong mana-mana parti termasuk parti pembangkang, kata Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Bernama memetik beliau sebagai berkata, ini kerana kerajaan mengamalkan sistem demokrasi dan semua rakyat termasuk guru berhak untuk membuat pilihan.

Katanya, masalah siapapun pemimpin yang akan dipilih pada pilihan raya umum kelak bukan isu, sebaliknya sebagai rakyat, tanggungjawab sebagai pemilih perlu ditunaikan.

Bernama memetik beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Guru Pembina Negara Bangsa dan Masyarakat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Payong, di Marang semalam.

Sementara itu, Bernama melaporkan beliau memberitahu pemberita selepas majlis itu bahawa 365,500 atau 86 peratus daripada 425,000 guru di seluruh negara telah berdaftar sebagai pemilih dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sehubungan dengan itu, beliau menggesa baki kira-kira 60,000 atau 14 peratus lagi guru menyegerakan pendaftaran bagi menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemilih bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 akan datang.

Katanya, meskipun tiada undang-undang yang dikenakan terhadap mereka yang tidak mendaftar sebagai pemilih, tetapi sebagai seorang guru yang sering menjadi ikutan kepada masyarakat perkara tersebut harus dilaksanakan.

“Seluruh masyarakat termasuk yang tinggal di kawasan pedalaman menganggap guru adalah pembimbing bukan sahaja kepada murid dan pelajar, malah pandangan serta nasihat dijadikan ikutan golongan dewasa.

“Sebagai warga pendidik yang dianggap boleh mempengaruhi masyarakat, semua guru digesa berdaftar sebagai pemilih bagi membolehkan mereka layak menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya.

Mengenai isu guru ‘duka-lara’, Mahdzir berkata setakat ini kementeriannya telah berjaya menyelesaikan kira-kira 14,000 permohonan pertukaran oleh guru sehingga akhir bulan lepas dan jumlah permohonan itu dijangka meningkat Disember ini.

Katanya, ia sebagai satu usaha yang berterusan kementerian dalam mengurangkan beban kerja guru dan memastikan prestasi guru-guru berkenaan terus cemerlang dalam mendidik anak bangsa.

Di majlis itu, Mahdzir turut menyampaikan poster salah laku disiplin murid dan pelajar kepada lapan pegawai Jabatan Pendidikan Daerah di negeri itu.

 

Sumber – smasanews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *