Tunggu keadilan selama 46 tahun

Pretoria: Mahkamah di sini semalam memutuskan seorang aktivis antiarpateid yang mati dalam tahanan polis, 46 tahun lalu, dibunuh dan bukan membunuh diri seperti laporan awal dalam penghakiman bersejarah yang turut memerintahkan anggota terbabit disiasat untuk kes yang berlaku pada 1971 itu.

Keputusan itu disambut tepukan gemuruh orang ramai selepas Hakim Billy Mothle menyampaikan penghakiman yang mengutuk keras perbuatan polis menganiaya golongan yang menentang pemerintahan kulit putih.

Ahmed Timol, yang ketika itu berusia 29 tahun, ditahan di Johannesburg pada Oktober 1971 dan meninggal dunia lima hari kemudian selepas terjatuh dari ibu pejabat polis bandar itu.

Anggota dari cawangan keselamatan yang digeruni ketika itu mendakwa Timol membunuh diri, yang disahkan inkues diadakan setahun kemudian.

Keluarganya bagaimanapun enggan menerima keputusan itu dan selama beberapa dekad berusaha mendapat semakan terhadapnya. Prosiding semakan akhirnya dimulakan pada Jun lalu.

Dalam penghakimannya setebal 129 muka surat, Mothle berkata: “Timol tidak terjun sendiri, sebaliknya ditolak sama ada dari tingkap atau bumbung bangunan itu.

“Anggota cawangan keselamatan membunuh Timol.”

Dia kemudian memerintahkan bekas anggota unit itu, Joao Rodrigues- yang mengaku menutup pembunuhan itu – didakwa.

Malangnya, semua anggota yang membunuh Timol sudah meninggal dunia.

Mothle kemudian menggesa keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam keadaan sama dibantu membuka semula siasatan untuk mendapat keadilan.

Sumber – hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *