Adun DAP dikecam kerana anggap pembangunan lereng bukit selamat.

Kenyataan Adun Seri Delima (DAP) R.S.N Rayer didalam Sidang DUN Pulau Pinang yang menyatakan bahawa tidak semua tanah runtuh berlaku kerana pembangunan, dikecam hebat oleh wakil rakyat dari PKR dan juga BN.

Shariful Azhar Othman (BN-Bertam) menyifatkan kenyataan Rayer tidak mempunyai asas dan tiada jaminan dapat diberikan bahawa semua pemaju akan mematuhi peraturan pembinaan di lereng bukit.

Menurut Shariful, tanah runtuh di lereng bukit adalah kesan dari pembangunan yang diluluskan oleh kerajaan negeri. Ianya tak akan berlaku jika lereng bukit dijadikan kawasan larangan pembinaan.

“Tetapi jika pemaju bina atas tanah landai, tiada kejadian seperti itu hari ini.

“Pemaju boleh baiki dan baik pulih rumah dan jalan rosak, tetapi apa jaminan yang tidak akan ada pergerakan tanah di masa depan?” katanya.

“ Nampaknya pendirian kerajaan negeri ialah lebih banyak tanah runtuh berlaku di tempat tanpa pembangunan berbanding tempat yang ada pembangunan.

“Saya rasa nasib baiklah tiada pembangunan di situ, kerana jika tidak ada nyawa yang terancam,” kata Shariful ketika memperdebatkan bajet negeri.

Shariful turut membangkitkan projek perumahan mewah di Tanjung Bungah yang jalannya runtuh ketika ribut hujung minggu lepas.

Jalan di kawasan perumahan itu runtuh selepas dinding penahan di bawahnya rosak kerana hujan lebat. Jalan yang runtuh itu merosakkan beberapa buah rumah yang masih belum diduduki kerana masih menunggu sijil layak menduduki.

“Nampaknya ramai orang kaya di Pulau Pinang yang mampu memiliki rumah sebegitu. Bila ada permintaan untuk rumah lereng bukit dan menghadap laut dengan pemandangan indah, ia akan dibekalkan oleh pemaju.

“Selaku kerajaan CAT (cekap, akauntabel dan telus), pentadbiran sepatutnya mempunyai dasar untuk menghalang kejadian sebegitu dan menyekat ketamakan pemaju,” kata Shariful.

Adun Batu Uban, Dr T. Jayabalan dari PKR pula berkata, semua projek sepatutnya dihentikan sehingga kajian mendalam dilakukan ke atas lereng bukit terbabit.

“Cukup cukuplah. Perlu kita tunggu kejadian lain berlaku dahulu ke? Ia masa yang tepat (untuk hentikan pembangunan jenis ini),” katanya ketika memperdebatkan Bajet 2018 negeri di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Jayabalan sebelum itu memberi contoh kejadian tanah runtuh pada 21 Oktober di tapak pembinaan Tanjung Bungah yang membunuh 11 orang pekerja. Tapak pembinaan itu terletak berhampiran lereng bukit.

Kejadian itu mencetuskan desakan baru supaya kerajaan negeri menghentikan pembangunan di kawasan dan lereng bukit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *