Adun DAP tuduh wakil rakyat PKR khianat pada Kerajaan Negeri?

Adun DAP R.S.N Rayer sekali lagi menimbulkan kekecohan didalam Sidang DUN Pulau Pinang apabila menyifatkan penganjuran forum oleh NGO alam sekitar sebagai platform untuk pihak tertentu menyalahkan kerajaan DAP Pulau Pinang terhadap kejadian banjir dan tanah runtuh yang berlaku di negeri ini.

Beliau menyifatkan forum terbuka yang membincangkan masalah banjir dan tanah runtuh itu digunakan sebagai medium untuk menyerang kerajaan DAP negeri serta menghasut rakyat agar tidak berpuas hati dengan kepimpinan negeri Pulau Pinang.

“Fokus Penang Forum adalah untuk menyalahkan kerajaan negeri atas apa yang berlaku. Persoalan saya adakah Penang Forum mengadakan forum dengan hati terbuka atau menghentam kerajaan negeri dengan katakan semua yang berlaku salah kerajaan negeri,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 pada persidangan Dun Pulau Pinang.

Forum anjuran sebuah pertubuhan bukan kerajaan pada 29 Oktober lepas itu hanya dihadiri oleh seorang Adun DAP iaitu Yap Soo Huey dari Pulau Tikus.

Pemimpin BN yang hadir pada forum itu ialah Adun Teluk Air Tawar, Datuk Jahara Hamid, Adun Pulau Betong, Datuk Muhamad Farid Saad, Adun Teluk Bahang, Datuk Shah Headen Ayoob dan Pengerusi BN Pulau Pinang ,Teng Chang Yeow manakala wakil daripada PKR ialah Adun Penanti, Dr Norlela Ariffin, Adun Machang Bubok, Lee Khai Loon dan Adun Kebun Bunga, Cheah Kah Peng.

Terkesan dengan tuduhan dari Rayer tersebut, Adun PKR-Kebun Bunga, Cheah Kah Peng kemudiannya bangun dan menyatakan adalah tidak adil untuk menuduh Penang Forum sebagai satu partisan kerana penganjuran forum itu hanya bertujuan untuk mengemukakan pandangan dan cadangan untuk menyelesaikan masalah banjir dan tanah runtuh di negeri ini.

Rayer yang tidak berpuas hati kemudian mempertikai tindakan Adun Kebun Bunga itu dan dua lagi wakil rakyat dari PKR yang tidak mempertahankan kerajaan negeri sebaliknya hanya Adun Pulau Tikus yang bersuara pada forum itu dan tidak ada seorang daripada mereka yang hadir menyokong penjelasan Yap.

Cheah kemudiannya bangun menjelaskan tindakannya untuk tidak bersuara pada forum berkenaan kerana beliau mendengar pembentangan oleh pakar-pakar yang hadir dan memberi laluan kepada sesi pembentangan itu.

Sementara itu, Yap (DAP-Pulau Tikus) berkata selepas sesi pembentangan itu mana-mana Adun PKR yang hadir pada forum itu boleh bersuara pada sesi soal jawab, namun beliau menyifatkan mereka mungkin ‘segan’ untuk bersuara.

Norlela (PKR-Penanti) kemudiannya bangun dan berkata: “Tidak adil untuk terus menuduh saya macam ini”.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *