CEC DAP kurang dapat sambutan dari perwakilan

Firma antarabangsa, Grant Thornton yang dilantik oleh DAP bagi mengendalikan keseluruhan proses pemilihan semula CEC DAP semalam telah mengumumkan keputusan pemilihan semula itu.

Keputusan itu dapat dilihat apabila Penasihat DAP Lim Kit Siang memperoleh jumlah undi sebanyak 1,199 diikuti rapat oleh anak mendiang Karpal Singh, Gobind Singh Deo Gobind dengan jumlah undi 1,198 manakala Setiausaha Agong, Lim Guan Eng memperoleh undi sebanyak 1,180.

Namun bagaimanapun, pemilihan semula itu dilihat kurang mendapat sambutan dari pewakilan apabila jumlah undi merosot berbanding ketika pemilihan semula pada 2013.

Sebelum pemilihan semula CEC ini diadakan semula, ramai perwakilan yang mempertikai Guan Eng bertanding dan dicalon semula. Mereka menyifatkan Guan Eng yang Ketua Menteri Pulau Pinang akan menyebabkan DAP hilang integriti kerana terlibat dengan skandal rasuah.

Berikut adalah kronologi dan fakta pendakwaan terhadap Guan Eng dan bekas pemilik banglo, Phang Li Koon:

* Lim dan Phang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen George Town atas pertuduhan rasuah. Tiada pengakuan direkodkan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.

* Kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di bawah Seksyen 60 Akta Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) yang memberi kuasa kepada pendakwaan memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.

* Lim menghadapi dua pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

* Bagi pertuduhan pertama, Lim didakwa sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang, telah menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya dan isterinya Betty Chew Gek Cheng, meluluskan Permohonan Perlingkungan Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah Barat Daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd.

* Lim, 56, didakwa melakukan kesalahan itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan Komtar, George Town di sini pada 18 Julai 2014.

* Jika sabit kesalahan beliau boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

* Bagi pertuduhan kedua, Lim didakwa sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mendapatkan untuk dirinya suatu barang berharga dengan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi, iaitu lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat No 25, Jalan Pinhorn, George Town di sini daripada ahli perniagaan Phang Li Koon dengan harga RM2.8 juta sedangkan nilaian semasa hartanah itu adalah sebanyak RM4.27 juta yang mana tertuduh mengetahui bahawa Phang mempunyai hubungan dengan tugas-tugas rasminya (Lim).

* Lim didakwa melakukan kesalahan itu di No 25 Jalan Pinhorn, George Town di sini pada 28 Julai 2015.

* Pertuduhan kedua itu membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *