DAP akan tendang PPBM dan PKR jika menang PRU14

DAP bekerjasama dengan PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebenarnya hanya untuk kepentingan diri sahaja, kata Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Guan.

Beliau berkata, bila cita-cita DAP tercapai, mereka akan tendang kedua-dua parti itu seperti mana mereka pernah lakukan terhadap bekas rakan sekutu mereka, PAS sebelum ini.

Itu sebab, katanya, kerajaan perlu bertindak terhadap DAP kerana parti itu sebuah parti gila kuasa yang angkuh dan ‘ganas’ dan boleh menggugat keamanan negara.

“Pada saya, DAP cukup bahaya. Kerajaan patut lakukan sesuatu,” kata Huan.

Beliau berkata demikian pada Diskusi UMNO-Online: Anda Tanya Kami Jawab – Membongkar Wajah Sebenar DAP di Auditorium UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, semalam.

Huan berkata, sebab parti yang diterajui Dinasti Lim itu menjadi bongkak dan ganas kerana Akta Keselamatan dalam Negara (ISA) sudah dihapuskan oleh kerajaan.

Katanya, DAP semakin lupa diri dan ‘memijak-mijak’ parti lawan kerana akta itu dihapuskan berbanding mereka yang sebelum ini tidak berani bersuara lantang disebabkan takut pada ISA.

Dalam pada itu, Huan berkata, beliau mencabar Lim Guan Eng dan bapanya, Lim Kit Siang tunjukan bukti jika mereka prihatin dengan bangsanya sendiri.

“Saya nak tanya Guan Eng dan Kit Siang, pernahkan kamu menggunakan duit poket sendiri sebanyak RM100 untuk bantu sekolah Cina. Tunjukan resit kepada saya.

“Anda jangan pandai bercakap sahaja. Minta bantuan sana, minta bantuan sini. Bila semua (bantuan) dapat, masuk poket sendiri,” katanya.

Sementara itu, beliau juga berkata, Guan Eng perlu meletakkan jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang atau mengambil cuti bagi membolehkan kes rasuah pembelian rumah banglo dapat dibicara dengan lancar.

“Saya ingin menyatakan kepada Guan Eng, kalau dia anak jantan, letak jawatan dan turun dari kerusi Ketua Menteri atau mengambil cuti,” katanya. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *