DAP beri dedak RM400 untuk tutup mulut nelayan di Pulau Pinang.

Untuk menutup mulut para nelayan di negeri ini yang mengecam tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang kerana tidak mengutamakan faktor kebajikan dan kepentingan golongan nelayan, maka pemberian RM400 setahun dicadangkan oleh kerajaan DAP melalui Bajet negeri 2018 semalam.

Didalam pembentangan bajet negeri itu juga, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sempat menyindir para nelayan di negeri ini yang tetap menerima faedah dari kerajaan DAP walaupun anti kerajaan.

“Malah nelayan-nelayan yang anti kerajaan kerana menentang projek penambakan tanah yang diperlukan untuk projek-projek pengangkutan dan LRT, diberikan faedah menerima jaring ikan sebelum ini dan kini boleh menerima RM400 setiap tahun.” katanya.

Pemberian RM400 oleh kerajaan DAP negeri disifatkan sebagai tidak berbaloi dengan apa yang telah dirampas oleh mereka daripada nelayan-nelayan tradisional di Pulau Pinang. Malah ada juga nelayan yang merungut kerana jaring ikan yang disumbangkan tidak berkualiti.

Projek tambak laut di selatan Pulau Pinang dibantah keras oleh para nelayan kerana dibimbangi akan menjejaskan sumber pendapatan mereka. Projek yang dilaksanakan bagi membina tiga buah pulau buatan itu dilihat memberi kesan negatif kepada golongan nelayan di kawasan sekitar.

Menurut Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang, Encik Nazri Ahmad, projek itu juga akan merugikan nelayan dalam jangka masa panjang kerana ia akan mengganggu ekosistem kehidupan laut.

“Kawasan projek ini nak dilaksanakan adalah kawasan popular untuk menangkap ikan. Ia hanya melibatkan nelayan-nelayan kecil yang tidak meraih keuntungan yang banyak dalam tangkapan ikan. Jika kawasan ini diganggu, di mana kami mahu cari rezeki? Kita tidak hanya melihat pada waktu ini, tetapi memikirkan kesan jangka masa panjang.

“Kami nelayan pantai, bawa bot kecil, tidak boleh pergi jauh kerana ancaman ribut dan tsunami. Kami mungkin bukan dari golongan profesional seperti juru perunding, pakar ataupun jurunilai tetapi kehidupan kami, hanya dengan laut,” katanya.

Jadi, pemberian ‘dedak’ RM400 yang diumumkan oleh Guan Eng didalam Bajet DAP seolah-olah menghina keseluruhan warga nelayan di negeri ini. Apakah RM400 mampu menampung kehilangan pendapatan yang mereka alami?

Terbukti Guan Eng dan DAP langsung tidak sensitif dengan permasalahan rakyat khususnya para nelayan apabila menganggap wang mampu membeli segala-galanya. Jangankan RM400, tetapi jika diberi RM1000 setahun pun masih belum setanding dengan kerugian yang nelayan hadapi dibawah pentadbiran DAP! – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *