DAP gagal tunjukkan mereka bukan parti pelbagai kaum

Keputusan pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP pada Ahad lalu jelas membuktikan parti DAP memang dikuasai orang Cina, kata penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff.

Jadi, beliau berkata, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng tidak perlu menyalahkan pihak lain terutama Barisan Nasional kononnya cuba memberi gambaran bahawa DAP parti untuk orang Cina sahaja yang bertujuan menakut-nakutkan orang Melayu daripada menyokong DAP dan pakatan pembangkang.

“Tidak perlulah Guan Eng dan pemimpin DAP lain menyalahkan pihak lain di atas wujudnya persepsi meluas bahawa DAP parti orang Cina kerana tindak-tanduk DAP menunjukkan ia memang parti orang Cina yang tidak selesa memberi ruang kepada orang Melayu berada pada kedudukan tinggi.

“Lebih-lebih lagi bila seorang ahli CEC baru dilantik, iaitu Yeo Bee Yin, selewat 7 Jun 2012, menulis kekurangan DAP adalah ia ‘a race-based party’ yang ‘still made-up of mostly Chinese’,” ujarnya.

Seramai 16 daripada 20 ahli CEC yang terpilih majoritinya adalah orang Cina, iaitu Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Anthony Loke, Liew Chin Tong, Teo Nie Ching, Chong Chieng Jen, Teresa Kok, Tan Kok Wai, Tony Pua Kiam Wee, Nga Kor Ming, Fong Kui Lun, Chow Kon Yeow, Chong Eng, Datuk Teng Chang Khim, Ronnie Liew dan Datuk Ngeh Koo Ham.

“Kita perlu meyakinkan semua orang, sama ada Melayu atau bukan-Melayu, bahawa kita DAP bukanlah ancaman kepada sesiapa, malah kita akan membina negara yang kita cintai ini bersama dengan semua rakyat Malaysia,” kata Guan Eng dalam ucapan pembukaan kongres di IDCC Shah Alam, Ahad lalu.

Tambah Kamarul, Dr Ong Kian Ming juga pernah mendedahkan pada 13 Januari 2016 bahawa ahli dan pemimpin DAP sendiri tidak suka dan senang dengan hasrat DAP untuk tarik lebih ramai orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak menjadi ahli.

Katanya, jika ini pun tidak disenangi oleh ahli dan pemimpin DAP sendiri, bayangkanlah tahap penolakan yang berlaku bila ada orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak yang berani bertanding untuk jadi pemimpin DAP.

“Penolakan DAP itu terbukti dalam keputusan pemilihan semula CEC pada 12 November lalu yang memaksa seorang pemimpin terpaksa dilantik bagi mewakili kategori orang Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak.

“Tetapi tidakkah pelantikan hanya seorang pemimpin (Tengku Zulpuri Shah Raja Puji) bagi mewakili orang Melayu, selain seorang wakil Bumiputera Sabah (Jannie Lasimbang) dan Sarawak (Dr John Brian Anthony), satu ketidakadilan, malah mungkin penghinaan, memandangkan komposisi orang Melayu sebagai penduduk majoriti?

“Jika DAP benar-benar serius mahu perbaiki imejnya dalam kalangan pengundi Melayu, tentulah tokoh Melayu yang bertanding seperti Tengku Zulpuri Shah dan Dr Ariffin Omar, akan dipilih, tetapi hanya Zairil Khir Johari, kekal calon ‘Melayu’ tunggal yang terpilih,” katanya.

Beliau berkata, jika DAP mahu memperbaiki imejnya dalam kalangan pengundi Melayu, tokoh-tokoh Melayu yang menyertai DAP selepas 2012, seperti Datuk Ariff Sabri Abdul Aziz, Dr Abdul Aziz Bari, Datuk A Samad Said, Datuk Zaid Ibrahim dan Datuk Yeop Adlan Che Rose, sepatutnya dilantik untuk mengisi kuota 10 orang ahli tambahan.

Namun Kamarul berkata itu tidak terjadi apabila 10 ahli tambahan CEC yang dilantik adalah penganut Kristian tegar.

Beliau juga berkata, keputusan pemilihan itu memperkuatkan lagi dakwaan DAP ada agenda Kristianisasi.

“Sekurang-kurangnya tujuh daripada 10 ahli tambahan CEC dilantik adalah penganut Kristian tegar, dengan sebahagian diketahui terlibat di dalam aktiviti evangelisme, iaitu Stephen Wong, Thomas Su, Dr Ong Kian Ming, Hannah Yeoh, Yeo Bee Yin, Dr John Brian Anthony dan Jannie Lasimbang.

“Jadi, memang pelik cara DAP berpolitik. Pada saat ia hadapi krisis keyakinan serius dalam kalangan pengundi Melayu, dan diserang dengan isu Kristianisasi, tokoh Kristian juga jadi pilihan utamanya untuk dilantik ke dalam CEC sedangkan ini hanya akan memperkuatkan lagi dakwaan bahawa DAP mempunyai agenda Kristianisasi,” katanya. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *