Exco DAP cuba menipu tentang rumah PR1MA di Pulau Pinang.

Dakwaan anggota Exco Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo bahawa tidak ada satu pun projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) diperuntukkan untuk negeri itu, dibidas oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim

Sebaliknya kata Shahidan, lima PR1MA yang menawarkan keseluruhan 15,392 unit kediaman diperuntukkan untuk negeri yang diterajui kerajaan DAP tersebut iaitu di Sungai Pinang (6,796 unit), Teluk Kumbar (3,944 unit), Permatang Pauh (1,017 unit), Batu Ferringhi (1,248 unit) dan Tasek Gelugor (2,387 unit).

“Ini menunjukkan dakwaan Jagdeep bahawa tiada projek PR1MA dibangunkan di Pulau Pinang sebagai tidak berasas dan berniat jahat. Beliau perlu mendapatkan fakta yang tepat. Daripada bergaduh beliau sepatutnya membantu PR1MA dengan mempercepatkan proses kelulusan,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Mengenai projek di negeri berkenaan, Shahidan berkata pembinaan PR1MA di Permatang Pauh sudah bermula manakala di Batu Ferringhi dan Tasek Gelugor masih menunggu kelulusan sementara PR1MA di Sungai Pinang danTeluk Kumbar pula dalam peringkat rundingan dengan kerajaan negeri.

Dalam dakwaannya yang dilaporkan oleh media pada Isnin, Jagdeep yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Perancangan Bandar dan Desa, turut berkata hanya 1,332 unit daripada keseluruhan 625,000 unit PR1MA yang dijanjikan kerajaan pusat disiapkan setakat ini.

Mengulas perkara itu, Shahidan berkata PR1MA telah menyiapkan 10,199 unit rumah di seluruh negara dan yakin dapat mencapai sasaran menyiapkan 17,000 unit menjelang hujung tahun.

Katanya di bawah manifesto Barisan Nasional, PR1MA dimandatkan untuk membina 500,000 unit kediaman dalam tempoh lima tahun, tertakluk kepada peruntukan tahunan oleh kerajaan persekutuan, bukan 625,000 unit yang didakwa Jagdeep.

Shahidan turut menjelaskan bahawa anggota Perbadanan PR1MA telah meluluskan pembangunan 259,881 unit di seluruh negara setakat ini dengan 141,661 unit yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM35.4 bilion, berada pada pelbagai peringkat pembinaan.

Selain itu, 11,944 unit dengan GDV dianggar RM3 bilion telahpun dijual, katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pembangkang berhenti menggunakan maklumat tidak tepat untuk terus mengelirukan rakyat semata-mata demi kepentingan politik.

Shahidan turut menyamakan DAP sebagai ‘rekod rosak’ yang asyik mengulangi isu basi serta menyifatkan kenyataan Jagdeep sebagai cubaan terdesak untuk mengalih tumpuan daripada tragedi tanah runtuh Tanjung Bungah.

Beliau berkata PR1MA wajar dipuji atas komitmen mereka bukan hanya dalam menyediakan kediaman mampu milik untuk kumpulan pertengahan (M40) tetapi juga kerana membawa perubahan positif dalam sektor hartanah negara.

“Kita wajar memberi pujian yang sepatutnya,? katanya menambah sebelum PR1MA, tidak ramai pemaju yang berminat membangunkan kediaman untuk M40.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *