Hotel larang bertudung – Mufti Perlis sokong tarik lesen perniagaan

Isu yang sedang hangat diperkatakan oleh rakyat Malaysia adalah tentang sesetengah hotel di negara ini yang melarang wanita bertudung daripada bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan (frontdesk).

Terdapat banyak rakyat Malaysia yang tidak bersetuju dengan isu ini yang dilihat seperti mengamalkan diskriminasi terhadap wanita bertudung. Sebagai sebuah negara Islam perkara seperti ini sepatutnya tidak berlaku.

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Azri Zainul Abidin juga turut terpanggil menyuarakan pendapatnya tentang perkara ini. Beliau berkata syarikat yang mengamalkan diskriminasi terhadap wanita bertudung ini perlu ditarik lesen perniagaan dan diboikot.

“Saya menyokong agar syarikat yang mendiskriminasi wanita bertudung diambil tindakan dan ditarik lesen perniagaan.

“Satu senarai syarikat yang melakukan diskriminasi ini harus disiarkan untuk pengetahuan awam. Umat Islam dan sesiapa yang peka pada hak asasi manusia mestilah memulaukan syarikat dan produk berkenaan,” katanya.

Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) membangkitkan isu larangan wanita bertudung ini. Meraka juga turut mengenakan larang ini kepada pelajar yang menjalani kursus perhotelan dan pelancongan yang membuat permohonan latihan praktikal.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan merasakan larangan seumpama itu tidak seharusnya berlaku di Malaysia. Larangan seperti ini dilihat mencabar sensitiviti umat Islam.

Jika dahulu, isu ‘dobi Muslim’ dikatakan mengamalkan diskriminasi telah mendapat tentangan banyak pihak. Mengapa larangan wanita bertudung ini pula tidak dianggap satu diskriminasi? Isu ini juga perlu dibangkitkan dan telah mendapat tentangan banyak pihak.

Negara gempar dengan isu ‘dobi muslim’ dan peniaga yang mengamalkan diskriminasi ‘dobi muslim’ ini diminta untuk menghentikan operasi. Oleh itu, sepatutnya hotel yang mengamalkan larangan wanita bertudung ini juga dihentikan operasi dan lesen ditarik balik.

Kita hidup di Malaysia yang terdiri dari pelbagai bangsa dan agama, diskriminasi seperti ini sepatutnya tidak dilakukan pada mana-mana pihak. Perkara ini pula berlaku di Malaysia yang mana Islam adalah agama persekutuan, ia sepatutnya sama sekali tidak berlaku.

Diharap semua pihak  tidak mengambil mudah perkara ini dan jika terdapat hotel yang meneruskan larangan ini, umat Islam boleh memboikot menggunakan perkhidmatan dari hotel-hotel ini. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *